Jawatan TPM Bukan Ghanimah, Tapi Satu Taklif – Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata amanah yang diberikan kepadanya sebagai Timbalan Perdana Menteri bukanlah ghanimah atau harta rampasan perang.

Namun tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, ia merupakan satu taklif iaitu tanggungjawab yang sangat berat dalam suasana ekonomi dunia diramal amat mencabar tahun depan.

“Kita yakin kerajaan perpaduan yang terbentuk ini mampu menangani cabaran-cabaran perlu ditempuhi demi kepentingan Malaysia dan rakyatnya.

“Namun dengan syarat semua pihak haruslah menghentikan provokasi dan tindakan untuk mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat.

“Usah diganggu ketenteraman dan perpaduan masyarakat serta usaha kerajaan untuk meningkatkan prestasi ekonomi negara selepas ini,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut melahirkan kesyukuran atas pelantikan jawatan itu sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

“Terima kasih di atas kepercayaan Perdana Menteri kepada saya dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk berada dalam Kabinet,” ujarnya lagi.

Seterusnya, Ahmad Zahid menyeru semua rakyat agar bermuafakat demi masa depan negara.

“Mari kita bersama sebagai rakyat Malaysia bermuafakat demi masa depan Malaysia yang lebih baik buat semua.

“Tahniah diucapkan kepada semua yang telah terpilih dan semoga gandingan semua pihak ini akan menghasilkan kejayaan luar biasa kepada negara,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid juga menggesa agar hentikan ketidakstabilan politik yang telah banyak merosakkan serta merencatkan kemakmuran Malaysia. – UMNO ONLINE