140 ketua bahagian mahu 2 jawatan tidak ditandingi

SERAMAI 140 ketua bahagian menyokong agar dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan pada pemilihan yang akan diadakan sebelum 19 Mei depan.

Pengerusi Solidariti Ketua-Ketua Bahagian Umno, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata ia sebagai persediaan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN), sekali gus memerlukan solidariti semua pihak bagi menyokong kepemimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Semua 140 ketua bahagian ini sebulat suara menyokong dua jawatan utama tidak perlu dipertandingkan, selain berharap Ahmad Zahid dapat menerima pandangan kami ini,” katanya yang juga Ketua Bahagian Wangsa Maju pada sidang media, di Kuala Lumpur.

Terdahulu 126 daripada 140 ketua bahagian itu mengadakan pertemuan tertutup bagi membincangkan perihal berkenaan sempena Perhimpunan Agung UMNO2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC).