Pemilihan jawatan dalam parti bermula 1 Feb

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) pada mesyuarat malam tadi telah membuat beberapa ketetapan berkenaan tarikh Persidangan Tahunan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan Bahagian untuk tahun 2023 yang melibatkan pemilihan jawatan.

Setiausaha Agung, Ahmad Maslan berkata Persidangan Tahunan Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan ialah pada 1 Februari (Rabu) hingga 26 Februari 2023 (Ahad) iaitu selama 26 hari.

“Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pemuda dan Puteri Umno Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2023 (Sabtu).

“Manakala Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac 2023 (Sabtu),” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau yang turut memaklumkan tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di Bahagian dan Pusat adalah bermula pada 13 Februari 2023 dan ditutup pada 26 Februari 2023 jam 5.00 petang.

Ahmad juga dalam pada itu memaklumkan Tan Sri Shahrir Samad telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan 2023 (JPU 2023) dan Datuk Mustapha Yaakub dilantik sebagai Setiausaha JPU 2023.