Tak ramai ‘yes man’ Zahid dalam MKT…

PASUKAN ‘baharu’ Umno yang baru dilantik bukanlah majoriti ‘orang’ Ahmad Zahid Hamidi. Namun begitu, ia adalah sesuatu yang cukup sihat dan elemen yang diperlukan bagi melonjakkan semula parti itu.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Awang Azman Awang Pawi berpandangan, pasukan baharu khususnya dalam kalangan pimpinan tertinggi parti tersebut dilihat seimbang mengikut tuntutan dan suara akar umbi selaras dengan pemilihan, begitu juga berdasarkan lantikan.

Situasi ini akan memudahkan semak dan imbang dalam parti itu.

“Kalau dilihat, tidak semuanya orang Zahid. Kalau Shahrizat Abdul Jalil itu sebenarnya dianggap dan dilihat sebagai orang Ismail Sabri (Naib Presiden). Apabila (Shahrizat) kalah (Ketua Wanita) beliau diambil sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebab tidak mahu berlakunya politik balas dendam dalam Umno.

“Tapi apa yang penting adalah keseimbangan, tidaklah terlalu banyak ‘Yes Man’,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut katanya, pasukan terkini dilihat ada yang menyokong kepada Kerajaan Perpaduan yang akan membantu menjamin kestabilan kepada politik negara.

“Kena ingat pemilihan perwakilan selain daripada lantikan, itu adalah suara daripada akar umbi, jadi pilihan mereka perlu dihormati. Kalau dianggap ada yang pro-Zahid, ada juga yang saya lihat pro kepada kerajaan terkini,” jelasnya.

Baru-baru ini, Umno mengumumkan pelantikan baharu selepas pemilihan Ahli MKT yang berlangsung Sabtu lalu.

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dilantik Setiausaha Agung baharu menggantikan Ahmad Maslan manakala Azalina Othman Said yang tewas pemilihan Naib Presiden dilantik sebagai Ketua Penerangan menggantikan Isham Jalil.

Jawatan Bendahari Agung kekal dipegang oleh Tengku Adnan Tengku Mansor.

Selain itu, Shahrizat yang tewas dalam perebutan jawatan Ketua Pergerakan Wanita pula dilantik sebagai ahli MKT, dalam memegang portfolio Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga.

Turut dilantik 12 lagi ahli MKT iaitu Nur Jazlan Mohamed, Mohamad Fatmi Che Salleh, Ahmad Ismail, Mohamed Shafie Abdullah dan Hasmuni Hassan.

Yang lain adalah Mohd Hasnol Ayub; Mohd. Faizal Ramli; Ariff Abdul Majid; Jailani Johari; Norliza Abdul Rahim; Mohamad Hairi Maad Shah dan Siti Sokhleha Nordin.