Sulaiman letak jawatan Ketua Menteri Melaka

KETUA Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali telah meletakkan jawatannya, kata presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam kenyataannya di Bentong, beliau mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu itu telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri.

Sulaiman difahamkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan pada pertemuan di pejabatnya di Parlimen, Selasa lalu.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam untuk mempersembahkan nama calon yang sesuai untuk dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu.

“Saya mengharapkan kebijaksanaan TYT (Tuan Yang Terutama) untuk menerima watikah yang akan saya kemukakan dan majlis angkat sumpah (Ketua Menteri baharu) akan mengikut kesesuaian tarikh TYT,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memaklumkan bila beliau akan menghadap Mohd Ali mahupun jumlah nama individu yang akan dikemukakan dalam senarai berkenaan.

Ditanya jika nama Pengerusi Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof akan disenaraikan, beliau menjawab: “Saya tidak boleh mengesahkan atau menafikan. Kita tunggu pengumuman daripada kerajaan negeri.”