PRN uji kerjasama Umno/BN dan PH – Azalina

KETUA Penerangan Umno, Azalina Othman menganggap bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri dalam masa terdekat ini adalah sebagai medan ujian kepada penerimaan rakyat terhadap Umno/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, elemen utama kepada pembentukan kerajaan ini adalah titah daripada Yang di-Pertuan Agong yang menginginkan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk bagi mengatasi masalah parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

“Sejujurnya, seumur hidup saya tidak pernah terfikir bahawa Dap akan menjadi rakan kongsi saya malah PKR. Elemen utama di sini ialah titah daripada Agong.

“Kedua, saya sendiri secara peribadi menyedari hakikat bahawa kita pernah bekerjasama terutamanya dalam Akta Anti Lompat Parti. Penyertaan dan pendedahan Umno/BN bersama PH membuatkan kami sedar bahawa ada agenda tertentu yang boleh kita bekerjasama.

“… dan bagi saya secara peribadi, saya teruja dengan agenda reformasi. Saya sebagai penasihat undang-undang parti maka apabila kita berkomunikasi dan bercakap tentang kerajaan campuran, saya secara peribadi merasakan PH jauh lebih baik untuk reformasi dalam erti kata saling memahami konsep reformasi,” katanya ketika sesi dialog bertajuk ‘Mendalami Demokrasi Di Malaysia: Membentuk Kerajaan Gabungan dan Parlimen Tergantung Berfungsi’, semalam.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu turut menganggap bahawa rakyat mempunyai pengharapan yang tinggi apabila disebutkan mengenai agenda reformasi.