Sultan Ibrahim dilantik YDP Agong ke-17

MALAYSIA hari ini menerima Ketua Utama Negara baharu selepas perisytiharan Sultan Johor Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi di Istana Negara.

Dengan sempurnanya Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Y​​​ang di-Pertuan Agong ke-17 di Balairung Seri hari ini, ia menandakan bermula tempoh pemerintahan lima tahun Sultan Ibrahim sebagai tonggak kedaulatan dan perpaduan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagan Persekutuan.

Sultan Ibrahim, 65, ketika melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong berikrar akan melaksanakan pemerintahan dengan adil dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara dan mempertahankan pada setiap masa kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Istiadat hari ini turut menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, 67, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melengkapkan lagi sistem raja berperlembagaan yang diamalkan negara.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada 27 Okt tahun lepas, susulan tamat tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.

Sehingga kini, Malaysia telah melalui 17 Ketua Utama Negara secara penggiliran lima tahun sekali dalam kalangan sembilan raja Melayu.

Kini setelah hampir 35 tahun, bendera rasmi Yang di-Pertuan Agong kembali dikibarkan di Johor selepas kali terakhir adalah ketika Paduka Ayahanda Sultan Ibrahim, Almarhum Sultan Iskandar memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-Raja Melayu dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah, manakala Johor diwakili Pemangku Sultan Johor, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.