TPM mulakan lawatan rasmi ke negara China

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan lawatan rasmi ke China dari semalam hingga 1 Jun ini atas jemputan Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang.

Bersempena dengan 50 tahun sambutan hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan China pada tahun ini, semalam beliau berlepas ke Negara Tembok Besar China dalam usaha memperkukuhkan lagi hubungan di antara kedua-dua buah negara.

Dalam satu perkongsian di laman sosialnya, Ahmad Zahid berkata Malaysia akan meneroka beberapa peluang kerjasama antara kerajaan dan swasta terutama dalam bidang teknologi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Lawatan yang bermula dari 22 Mei hingga 1 Jun 2024 ini akan menyaksikan beberapa kerjasama di antara kerajaan, agensi dan syarikat swasta yang memberi fokus kepada bidang teknologi, industri TVET dan pelbagai perdagangan dua hala.

“Semoga lawatan ini menjadi pemangkin kepada hubungan yang utuh di antara Malaysia dan China,” ujar Presiden UMNO itu.

Dalam statusnya yang lain, beliau bersyukur kerana selamat tiba di Hong Kong dan disambut Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin, Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong Muzambli Markam dan kakitangan konsulat serta wakil-wakil agensi kerajaan yang berada di sini.

“Esok (hari ini), saya dijadualkan bertemu TYT John Lee Ka-chiu, Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) bagi memperkukuhkan lagi kerjasama dan meneroka potensi baharu khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, inovasi teknologi serta memperluaskan lagi perkongsian strategik yang bermanfaat untuk kedua-dua negara,” katanya.

Tambah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi, ini merupakan lawatan pertama beliau sejak memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri ke negara itu. – UMNO ONLINE