Rahman ‘silap’ jemput Hajiji Noor, kata Bung

KETUA Umno Sabah Bung Moktar Radin menegur tindakan timbalannya Abdul Rahman Dahlan menjemput Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor ke majlis perasmian mesyuarat Umno Tuaran, Sabtu lalu, sebagai ‘tidak tepat dan silap’.

Bung berkata, ini kerana majlis itu seharusnya menjadi platform buat Presiden Zahid Hamidi menyampaikan amanat dan strategi kepada ahli Umno namun terbatas dengan kehadiran pemimpin luar seperti Hajiji.

Selain Hajiji yang juga ketua menteri Sabah, pemimpin luar Umno dijemput ke majlis bahagian diketuai Rahman itu termasuk Ketua Pakatan Harapan (PH) Sabah Christina Liew.

“Apabila banyak pemimpin lain (datang) maka ucapan presiden kena berlapik.

“Pada saya ini satu perkara silap dilakukan Rahman,” katanya kepada FMT sambil menyatakan beliau tidak hadir ke majlis perasmian mesyuarat Umno Tuaran kerana tidak dijemput.

Beliau bagaimanapun hadir ke majlis perasmian mesyuarat Umno Sepanggar dirasmikan Zahid selepas itu.

Zahid mengakui ada pihak dalam parti memintanya menilai semula keputusan merasmikan mesyuarat Umno Tuaran susulan kehadiran Hajiji yang diketahui hubungannya dengan Bung dingin susulan ‘Langkah Kinabalu’ Januari tahun lalu.