PRK DUN Nenggiri ditetapkan pada 17 Ogos

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

“Sehubungan itu, urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka mulai hari ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ramlan berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 16 Ogos depan.

Beliau berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK itu membabitkan daftar pemilih tambahan April 2024 yang dikemas kini hingga 18 Jun lalu.

DPPR berkenaan mengandungi seramai 20,259 pemilih terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

“Pelaksanaan PRK DUN N43 Nenggiri memerlukan peruntukan sebanyak RM1.6 juta.

“Seramai 431 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK ini, manakala 20 pusat mengundi biasa mengandungi 46 saluran dan satu pusat mengundi awal bakal digunakan,” katanya.

Beliau berkata, SPR turut melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan proses PRK itu.

“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya, SPR akan menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang dianggotai wakil daripada polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil calon bertanding.

“Pada PRK ini, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, mengumumkan kerusi DUN Nenggiri mulai 19 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, yang hilang daripada BERSATU.

Susulan itu, Mohd Azizi memfailkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK DUN berkenaan daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolaknya.