BN guna logo sendiri pada PRU16 – Zahid

BARISAN Nasional (BN) akan menggunakan lambang sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) biarpun mengadakan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kegagalan BN pada pilihan raya lalu tidak menghalang parti itu untuk terus kekal menggunakan lambang terbabit.

“PH bertanding dengan lambang mereka (PH), kita (pula bertanding dengan lambang kita, tapi dari segi kerjasama kita (tetap) jalinkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Maran di Dewan UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid turut menjelaskan BN tidak akan bertanding di kawasan yang ditandingi parti PH.

Menjawab mengenai status terkini, Parti Progresif Penduduk (myPPP), Ahmad Zahid berkata, terdapat 11 parti gabungan itu termasuk MyPPP sebagai ‘friends of BN’.

Ujasnya, BN hanya mempunyai empat parti komponen terdiri UMNO, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.

“Kita samakan semua… mereka (MyPPP) sebahagian daripada Friends of BN, bukan (parti) komponen.

“Dalam Perlembagaan BN memaktubkan bahawa keputusan untuk menerima mana-mana parti mesti ‘konsensus’ 100 peratus… jika ada parti tidak bersetuju, maka kita tidak akan menerima,” katanya.