BN akan pertimbang kemasukan semula MyPPP

RAYUAN Dewan Tertinggi Parti Progresif Rakyat (MyPPP) untuk kembali sebagai komponen teras Barisan Nasional (BN) akan dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi gabungan itu.

Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau namun yakin pemimpin parti politik dalam BN akan bersimpati dengan nasib parti itu.

“Pemimpin MyPPP ketika itu (tahun 2018) umum keluar BN. Daripada 13 parti kita (BN) tinggal empat parti. Sembilan parti lagi keluar BN.

“(Keputusan rayuan) tertakluk kepada perbincangan kerana Perlembagaan BN adalah keputusan mesti dibuat secara sebulat suara atau konsensus,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan MyPPP ke-71 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.

Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas pada Mei 2018 mengumumkan parti tersebut mengakhiri hubungan dengan BN dan bakal bergerak sendiri sebagai parti yang menyokong kerajaan ketika itu

Beliau pada bulan berikutnya mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Presiden MyPPP, namun Majlis Tertinggi MyPPP menjelaskan Kayveas sebenarnya dipecat daripada parti itu.