‘Ada usaha lagakan saya dengan presiden parti’

TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui terdapat pihak yang cuba melaga-lagakannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun katanya yang mesra dipanggil Tok Mat, beliau tidak terpengaruh atau termakan hasutan dengan pihak terbabit.

“Sentiasa ada orang nak adu domba saya dengan presiden. Saya senyum saja sebab orang yang cakap tu saya tak percaya sebab dia boleh cakap buruk tentang Presiden dia.

“Belakang saya entah apa dia cakap tentang saya,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, di Tangkak, semalam.

Mohamad mengakui menjadi orang nombor dua dalam parti bukan sesuatu yang mudah tetapi menjadi tanggungjawab untuk membantu presiden parti.

Beliau yang juga Menteri Luar berkata, perkara yang lebih utama adalah parti yang menjadi suara rakyat untuk memperjuangkan nasib bangsa dan agama.

“Apa yang lebih penting parti dulu, kalau kita menang, akan menang satu bas (semua pihak dalam parti menang), kalau kita kalah, kalah satu gerabak,” ujarnya secara berkias.

Tambahnya, memang tidak dinafikan akan ada yang melompat dari ‘gerabak’ apabila tewas, justeru mahukan setiap ahli terus setia kepada parti.