BN tak bertanding solo pada PRU-16, kata Zahid

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan UMNO tidak akan bertanding solo dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sebaliknya tetap menggunakan bersama gabungan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, UMNO akan terus memperkukuhkan hubungan kerjasama dengan parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka pada PRU16 nanti.

Tambahnya, kekalahan UMNO dalam pilihan raya sebelum ini adalah berpunca daripada keputusan bertanding secara bersendirian tanpa gabungan kukuh.

“Kenapa kita kalah ketika itu? Kita hanya melihat perkiraan kita sendiri. Kita buat keputusan untuk bertanding solo, sedangkan UMNO dan BN selama ini tidak pernah bergerak secara bersendirian.

“Malah, semalam saya berada di Johor, saya turut dengar suara yang mahu kita bertanding solo. Tapi, adakah itu keputusan muktamad kita? Tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung di sini, hari ini.