DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf susulan ungkapannya yang menggunakan perumpamaan malaikat dalam konteks tekanan dihadapinya ketika memegang amanah sebagai Presiden UMNO.
Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kenyataan dibuatnya itu lahir dalam suasana penuh emosi sebagai usaha menggambarkan cabaran ujian sebagai pemimpin.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu mengakui, perbandingan berkenaan mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir.
“Sebagai seorang muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai dan prinsip Islam serta tradisi keilmuan, saya dengan rendah hati memohon ampun pada Allah dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, semalam.
Ahmad Zahid berkata, beliau juga menerima setiap teguran dengan hati terbuka.
“Saya percaya, nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya, tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri dan belajar daripada kesilapan.
“Mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki,” katanya.