PEMUDA UMNO Negeri Sembilan mendakwa parti itu tidak mendapat layanan sewajarnya daripada Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin berkata, perkara itu jelas apabila permintaan Barisan Nasional (BN) supaya jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan diberikan kepada wakil parti itu masih belum dipenuhi.
“Pada tahun 2023 lagi kami dimaklumkan bahawa jawatan itu akan diberikan kepada UMNO, tetapi sehingga kini tiada perkembangan.
“Kami lihat ini tidak adil kepada UMNO, sedangkan kami adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN juga telah menyuarakannya dalam sidang DUN,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, perkara tersebut turut menjadi persoalan dalam kalangan Pemuda UMNO yang sehingga kini gagal diberikan penjelasan. Ia turut disuarakan dalam Persidangan Pemuda UMNO Bahagian Seremban baru-baru ini.