Tiada perebutan untuk jadi calon Mahkota

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan berlaku perebutan antara pemuda dan wanita untuk menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Menurutnya, calon akan ditentukan beliau selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan perkara tersebut akan dimuktamadkan sebelum 14 September ini.

“Kami baru sahaja selesai adakan mesyuarat khas antara saya dan ahli-ahli Badan Perhubungan UMNO Johor. Kita mahu sebelum 14 September, sebelum hari penamaan calon, kerja-kerja harus dimulakan.

“Malam ini saya akan bertemu dengan parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk melakukan penyelarasan.

“Soal calon belum dimuktamadkan kerana ada beberapa proses yang akan kita teliti kerana ia perlukan calon-colon yang ada ciri ‘wali’ (boleh menang, diterima dan disukai),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas PRK DUN Mahkota di kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Saujana, pada Isnin.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sebelum ini Wanita UMNO menuntut supaya calon mewakili BN pada PRK DUN Mahkota kuotanya kekal daripada pergerakan tersebut.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kerusi itu penting bagi wanita meneruskan legasi penyandang sebelum ini, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga Exco Wanita UMNO menang dengan majoriti lebih 5,000 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.