Anwar berpaling kepada UMNO selepas 2018

ANWAR Ibrahim terbuka bekerjasama dengan Umno selepas PRU 2018 kerana beliau sangsi terhadap Dr Mahathir Mohamad, bekas mentornya bertukar musuh, menurut sebuah buku baharu.

Anwar, yang tidak pernah mempercayai Mahathir tidak membantah rancangan dicadangkan Najib Razak, tulis wartawan Leslie Lopez, pengarang buku The Siege Within.

Menurut Lopez, Najib yang ketika itu memimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno, mencadangkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), jika PRU 2018 menyebabkan Parlimen tergantung.

Terdapat prospek semakin meningkat bahawa BN dan Umno tidak mampu memenangi kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan menyebabkan ketua Umno dan pengerusi BN itu terpaksa mencari pilihan lain.

Elemen sayap kanan dalam Umno mendesak Najib bersiap sedia mengisytiharkan darurat, jika BN kalah dalam PRU. Tetapi, Najib tidak mahu mengambil pendekatan begitu drastik kerana beliau tahu langkah sedemikian akan membawa implikasi dahsyat kepada Malaysia, kata Lopez.

Sebaliknya, Najib memilih pendekatan alternatif, untuk mengekalkan hubungan terbuka dengan Anwar.

Najib dan Zahid Hamidi (timbalan presiden Umno ketika itu) mengemukakan idea kerjasama dengan PH, jika berlaku situasi Parlimen tergantung, tulis Lopez.

Ketidakpercayaan Anwar terhadap Mahathir bermula pada 1998, ketika kedua-duanya berada dalam Umno, yang menyebabkan Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri, disingkirkan daripada Umno dan akhirnya dipenjarakan. Anwar mengetuai pembangkang melalui PKR dan Pakatan Rakyat, yang meraih pencapaian menakjubkan pada PRU 2008.

Mahathir, yang meninggalkan Umno dan bersara sebagai perdana menteri pada 2004, memutuskan untuk kembali berpolitik, bertekad memecat Najib dan Umno serta berbaik dengan Anwar pada separuh kedua 2016.

Rundingan tertutup selama berbulan-bulan dan beberapa kunjungan membina keyakinan oleh Mahathir menyebabkan Anwar bersetuju mengetuai pakatan pembangkang, yang kini dipanggil PH.

Tetapi, di sebalik pengaturan itu, isu kepercayaan terhadap Mahathir masih ketara,  tulis Lopez.

Dengan Mahathir mengetuai kempen pilihan rayanya, PH meraih kemenangan bersejarah dalam PRU 2018, menamatkan kuasa BN selama enam dekad. Potensi kerjasama Umno-PH tidak menjadi kenyataan, tetapi PH kemudiannya setuju bekerjasama dengan bekas seterunya selepas PRU 2022 yang menyebabkan Parlimen tergantung.

Dengan PH, BN dan parti Malaysia Timur dalam gabungan besar, Anwar menjadi perdana menteri, dengan Zahid sebagai timbalannya dalam kerajaan perpaduan.