PM umum bajet RM407.5 billion untuk tahun 2025

BELANJAWAN 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan belanjawan bertemakan ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’ di Parlimen pada pukul 4 petang, Jumaat.

Tahun ini merupakan kali ketiga belanjawan dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Berikut merupakan intipati Belanjawan 2025:

– Menteri-menteri serta lantikan politik akan terus membuat pemotongan 20 peratus gaji dan Anwar sendiri tidak akan menerima gaji.

– Pelarasan pencen juga akan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan pelarasan peratusan ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masingmasing termasuklah pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

– Kerajaan bersetuju supaya kadar Bantuan Sara Hidup berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) untuk veteran ATM tidak berpencen dinaikkan kepada RM500.

– Kerajaan turut bersetuju melanjutkan bayaran Penghargaan Khas Kepada Pesara dan penerima pencen terbitan mulai Januari hingga Disember 2025.

– Kerajaan bersetuju supaya kadar Bantuan Sara Hidup berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) untuk veteran ATM tidak berpencen dinaikkan kepada RM500.

– LPPSA akan memperkenalkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda untuk penjawat awam muda memohon pembiayaan perumahan sehingga 40 tahun.

– Lebih RM1.8 bilion disediakan bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.

– Sejumlah RM560 juta disediakan untuk memperkasa sempadan negara.

– Lebih RM2.12 bilion peruntukan aset khusus untuk PDRM dan agensi beruniform di bawah KDN.

– Kementerian Pertahanan pula menerima peruntukan RM21.2 bilion.

– Kerajaan akan terus memastikan kesiagaan penuh Angkatan Tentera Malaysia dengan RM5.8 bilion dikhususkan untuk kerja-kerja senggara dan pembaikan serta perolehan aset-aset ketenteraan baharu.

– Kementerian Dalam Negeri menerima peruntukan RM19.5 bilion.

– Peruntukan Dana Kandungan Digital ditingkatkan kepada RM65 juta bagi mempromosi karya-karya terutamanya yang berteraskan semangat kenegaraan.

– Kerajaan menyediakan RM50 juta untuk Dewan

Bahasa dan Pustaka bekerjasama dengan penggiat bahasa untuk mempergiat aktiviti bahasa dan kesusasteraan,

– RM50 juta dana bantuan turut disediakan bagi kerja-kerja baik pulih dan selenggara rumah ibadat bukan Islam yang berdaftar di seluruh negara.

– Penganjuran program-program pemupukan semangat perpaduan serta jati diri akan diperbanyak dengan peruntukan RM50 juta.

– Kerajaan bersetuju menyediakan RM20 juta untuk memperkasa ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan.

– Bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak, RM15 juta disediakan kepada Pasukan Harimau Malaya, Pasukan bawah 18 dan dan bawah 13.

– RM150 juta ringgit dikhususkan untuk menyelenggara prasarana pendidikan Islam JAKIM seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat.

– Kerajaan bersetuju menambah kuota guru KAFA sebanyak 1,500 orang.

– Menghargai sumbangan besar lebih 70 ribu guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut, Kerajaan bersetuju menyalurkan sumbangan khas RM500 dengan peruntukan RM35 juta.

– RM10 juta disediakan untuk menjayakan program Program Peluang Kedua (PEKA).

– Masyarakat Orang Asli terus terbela di bawah Belanjawan Madani dengan peruntukan ditingkatkan hampir RM380 juta.

– Sejumlah RM10 juta disediakan untuk NGO dan JAKOA.

– Peruntukan bantuan OKU di bawah JKM ditingkatkan kepada RM1.3 bilion ringgit ketimbang RM1.2 bilion.

– Peruntukan kebajikan warga emas akan ditingkatkan mencecah RM1 bilion.

– RM10 juta disediakan bagi untuk membantu sekolah autistik swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

– Elaun Murid Berkeperluan Khas RM150 sebulan juga terus disediakan kepada lebih 110 ribu murid OKU termasuk murid autisme melibatkan peruntukan RM200 juta.

– Dua sekolah baharu murid berkeperluan khas juga dibina di Tuaran, Sabah dan Johor Bahru dengan kos RM300 juta.

– 11 Pusat PERMATA baharu akan dibina bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik.

– Kerajaan menyediakan RM5 juta untuk melaksanakan Ikhtiar 1,000 Hari Pertama Kehidupan.

– Program Rakan Muda diperuntukkan RM25 juta.

– RM178 juta bagi memasang lampu-lampu jalan baharu dan lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan seluruh negara.

– RM1 bilion dikhaskan untuk segera membaiki jalan bukan utama seperti jalan sekunder, jalan FELDA dan jalan industri serta jalan yang rosak akibat banjir.

– RM2.8 bilion ringgit disediakan untuk menyelenggara Jalan Persekutuan.

– 100 hentian bas di Lembah Klang akan ditambah baik melibatkan kerjasama GLC dan badan.

– Pas Bulanan My50 diteruskan bagi manfaat 180 ribu pengguna Lembah Klang menggunakan bas dan rel Prasarana.

– Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga dengan dana 120 juta ringgit bersetuju untuk menambah baik capaian internet di universiti awam, sekolah, kem-kem tentera dan institusi MARA.

– Prasarana asas di kawasan kampung, desa dan pedalaman terus ditumpukan bagi memberi keselesaan kepada rakyat dengan peruntukan hampir RM2.9 bilion.

– Aktiviti ekonomi rakyat seperti perusahaan makanan menggunakan platform Dapur Digital oleh Pepper Labs dipergiat dengan peruntukan RM5 juta.

– Program Anak Kita terus diperkasa dengan peruntukan RM30 juta sebagai ikhtiar bersepadu menangani isu keciciran 80 ribu anak-anak.

– 48 buah Taman Awam Madani dinaik taraf meliputi kawasan rekreasi serta landskap serba indah di bandar dan pekan kecil dengan peruntukan hampir RM100 juta.

– Hampir RM900 juta bagi melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat (PRR) dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat termasuk dua projek PRR baharu.

– RM27 juta disediakan bagi merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah rakyat termasuk penganjuran Hari Sukan Negara.

– Kementerian Kesihatan menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 bilion.

– GiatMARA dan kolej komuniti disediakan RM55 juta bagi 5 tahun untuk mengupaya 10 ribu anak-anak huffaz dari institusi tahfiz dan pondok dengan latihan kemahiran.

– Kolej vokasional dan sekolah menengah teknik terus menyediakan pendidikan kepada 77 ribu orang pelajar dengan peruntukan RM1.2 bilion.

– Majikan yang mengambil OKU dan bekas banduan bekerja akan diberi insentif sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan di bawah seliaan PERKESO.

– AI akan diperluas ke semua universiti penyelidikan dengan peruntukan RM50 juta.

– UiTM disediakan peruntukan tambahan RM20 juta bagi melahirkan lebih ramai jurutera E&E.

– Peruntukan keseluruhan RM4 bilion disediakan dalam bentuk biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan.

– Kementerian Pendidikan Tinggi diperuntukkan 18 bilion

– Elaun Sara Hidup bagi siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru ditingkatkan kepada RM530 sebulan.

– Peruntukan khas RM10 juta disediakan sebagai Bantuan Persekolahan kepada semua 687 sekolah pedalaman.

– 17 jenis bantuan pendidikan terus disediakan dengan peruntukan RM5.3 bilion.

– Bantuan makanan asrama: RM2 bilion.

– Rancangan Makanan Tambahan (RMT): RM870 juta.

– Hampir RM800 juta Bantuan Awal Persekolahan disediakan kepada semua 5.2 juta murid tahun 1 hingga tingkatan 5.

– Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin ditingkatkan kepada RM180 juta.

– RM1 bilion pula bagi menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak.

– RM1 bilion khusus untuk menyelenggara semua jenis sekolah terutamanya keadaan bilik darjah yang uzur.

– RM2 bilion disediakan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara.

– Kementerian Pendidikan diberi peruntukan RM64.1 bilion.

– Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

– RM250 juta disediakan bagi mengedarkan barangan keperluan asas di kawasan pedalaman dan desa.

– RM700 juta dikhususkan untuk memperbanyak saluran program kos sara hidup lain bagi mengawal harga barang.

– Program Payung Rahmah yang ditingkatkan peruntukan kepada RM300 juta.

– Kadar Bantuan Warga Emas dinaikkan kepada RM600 sebulan ketimbang RM500 sebulan.

– Untuk Wilayah Persekutuan, Kadar Bantuan Am juga dinaikkan kepada RM150 ketimbang RM100 dengan kadar maksimum sekeluarga sebanyak RM500 sebulan.

– Kerajaan akan memberi peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu kepada RM13 bilion ketimbang RM10 bilion

– Tahun hadapan, 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan, ketimbang 700 ribu penerima tahun ini.

– Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKAD penerima bermula April 2025.

– Kategori bujang akan menerima STR RM600.

– Bayaran bagi STR 2024 Fasa 4 akan disalurkan kepada penerima bermula 7 November depan melibatkan peruntukan RM1.7 bilion ringgit.

– RM650 juta juga akan dikhususkan untuk menyokong wanita dan belia menceburi bidang keusahawanan.

– Pinjaman bersaiz mikro tersedia sehingga RM3.2 bilion,antaranya oleh TEKUN dan BSN bagi membantu penjaja kecil termasuk komuniti OKU, masyarakat Cina serta Bumiputera.

– UDA dengan dana RM200 juta akan terus menumpukan pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat di tanah-tanah wakaf.

– KWAP menyediakan dana RM300 juta bagi meningkatkan pembangunan tanah wakaf untuk membina rumah persaraan mandiri warga emas kepada para pesara pendapatan rendah.

– Belanjawan 2025 meningkatkan peruntukan FELDA, FELCRA dan RISDA kepada RM2.6 bilion ketimbang RM2.4 bilion.

– RM 2.78 bilion disediakan sebagai subsidi, bantuan dan insentif untuk pesawah dan nelayan, meningkat ketimbang RM2.6 bilion.

– RM65 juta disediakan bagi membangunkan pengairan dan saliran jelapang padi serta meluaskan estet padi FELCRA di Sabah dan Sarawak.

– Sejumlah RM27 juta turut disediakan sebagai insentif kepada petani dan penternak untuk meningkatkan ternakan lembu pedaging, ruminan kecil kambing pedaging, kambing tenusu dan bebiri serta pengeluaran bawang tempatan.

– Agrobank menyediakan kemudahan pinjaman RM200 juta kepada pengusaha agromakanan.

– RM300 juta ringgit disediakan bagi menjalin kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri.

– Kerajaan meningkatkan lantikan renjer komuniti kepada 2,500 orang ketimbang 2,000 orang dengan peruntukan RM80 juta.

– Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik CKD sehingga RM2,400 akan diteruskan dengan peruntukan RM10 juta.

– Khazanah menyediakan RM600 juta untuk memulih serta mengangkat nilai Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara.

– Sejumlah RM110 juta disediakan bagi melengkapkan kawasan pelancongan.

– RM40 juta disediakan di bawah MATRADE sebagai geran bayaran balik bagi membantu pengeksport Malaysia mempromosi produk dan perkhidmatan buatan Malaysia.

– RM50 juta disediakan sebagai Geran Padanan Digital PMKS dan Geran Digital Penjaja di bawah BSN untuk usahawan tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran.

– KWAP di bawah Dana Perintis menyediakan RM1 bilion untuk turut menyokong aktiviti syarikat mula niaga tempatan dengan RM200 juta khusus untuk 2025.

– RM21 juta untuk mengekang isu tanah jerlus di Kerian Laut, Perak, Kedah dan Perlis.

– Lebih RM250 juta untuk membaiki cerun seluruh negara.

– RM50 juta ringgit disediakan bagi kerja-kerja pembersihan dan naik taraf longkang dan parit.

– Peruntukan hampir RM600 juta disediakan untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

– Penyaluran segera RM150 juta kepada PBT dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di kota-kota yang terkesan.

– Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan diberi tambahan perjawatan seramai 100 orang dengan tambahan peruntukan RM10 juta.

– Peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan terus diperhebat dengan peruntukan RM20 juta ringgit.

– Mengedarkan 67 ribu keluarga susah dengan topi keledar secara percuma untuk keselamatan anak-anak.

– Memberi bantuan pembelian tiket penerbangan bagi 60 ribu mahasiswa kurang mampu khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman.

– Menampung bayaran mendapatkan lesen motosikal oleh 15 ribu anak muda kurang mampu seperti murid sekolah menengah, mahasiswa dan belia yang mencari kerja.

– Had nilai untuk lantikan terus dan sebut harga bagi semua kerja penyelenggaraan dan pembaikan kecil turut dinaikkan masing-masing kepada RM200 ribu dan RM1 juta ringgit sebagai tambahan kepada projek sekolah, klinik daif dan fasiliti kesihatan sedia ada.

– Had nilai sebut harga bagi kerja penyelenggaraan dan penggantian lif melibatkan perumahan rakyat dan kuarters dinaikkan sehingga RM1.2 juta.

– Had nilai bagi kerja gotong-royong ditingkatkan kepada RM200 ribu ketimbang RM100 ribu.

– RM100 juta untuk memperkasa komuniti PPR seluruh negara.

– RM100 juta untuk universiti awam turut melaksana Kampung Angkat Madani serta institusi TVET memberi khidmat TVET seperti baik pulih rumah dan pendawaian elektrik kepada komuniti.

– RM200 juta ringgit bagi memperluas Kampung Angkat Madani di 200 kampung seluruh negara.

– RM600 juta untuk merancakkan ekonomi pedesaan di kampung-kampung, bandar-bandar, pedalaman dan perkampungan Orang Asli.

– Sejati Madani sepertimana diumumkan bahawa setiap pedesaan, miskin bandar, di kampung, pedalaman dan rumah panjang diberi peruntukan antara RM50 ribu hingga RM100 ribu.

– Tahun hadapan, RM25 juta ringgit disediakan kepada Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR).

– Lebih RM60 juta disediakan bagi menaik taraf prasarana kehakiman termasuk pembangunan sistem e-Kehakiman.

– Peruntukan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang juga dinaikkan kepada RM209 juta.

– Sejumlah RM20 juta disediakan untuk menyokong All-Party Parliamentary Group Malaysia Sustainable Development Goals yang merentasi kawasan parlimen dan parti politik.

– Belanjawan 2025 meningkatkan peruntukan Parlimen kepada RM180 juta ketimbang RM166 juta ringgit.

– Sejumlah RM200 juta ringgit disediakan kepada Jabatan Audit Negara, meningkat ketimbang RM173 juta.

– Bagi tahun hadapan, peruntukan SPRM ditingkatkan kepada RM360 juta ketimbang RM338 juta.

– Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bekerjasama membangunkan Pusat Kanser Sarawak yang dianggarkan RM1 bilion.

– Kerajaan bersetuju melaksanakan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Tawau, Sabah dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak dengan kos RM253 juta.

– Kerajaan telah memuktamad empat pakej kerja Sabah Sarawak Link-Road (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion.

– Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dan adalah yang tertinggi antara negeri iaitu masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion.

– Anggaran Belanjawan 2025 adalah yang tertinggi pernah diumumkan iaitu RM421 bilion meliputi RM335 bilion ringgit belanja mengurus, RM86 bilion belanja pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

– Skop Cukai Perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi.

– Peluasan skop SST secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025.

– Kerajaan Madani mewarisi bebanan hutang yang menggunung. Paras hutang tahun lalu adalah pada RM1.2 trilion atau lebih 64 peratus KDNK. Jika termasuk liabiliti, paras hutang telah mencecah RM1.5 trilion atau 80 peratus KDNK.

– Pada tahun ini, kutipan hasil diunjur semula lebih tinggi iaitu kepada RM322 bilion ketimbang RM308 bilion.