Perkukuh parti sebelum pilih rakan, kata Bung

UMNO Sabah mesti diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum ia memikirkan untuk memilih rakan kongsi pada pilihanraya negeri akan datang, kata ketuanya Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Katanya, buat masa ini ahli dan pemimpin parti tidak perlu memikirkan dengan siapa UMNO bekerjasama kerana ia bukan keutamaan.

“Tiada gunanya kita memikirkan soal kerjasama dengan parti lain jika jentera parti kita lemah dan tidak terurus.

Apa yang penting ketika ini ialah fokus kepada persiapan jentera parti. Jika kita kuat pihak lain akan menghormati kita, bahkan mahu bekerjasama dengan UMNO,” katanya pada majlis penutupan program pemukiman UMNO Bahagian Papar, di sini, Ahad lalu.

Yang turut hadir ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan; Ketua UMNO Papar, Datuk Jamal Nerubi; Timbalan Ketua UMNO Papar, Tamin Zainal; Naib Ketua Bahagian, Rizwan Ismail dan Ketua Wanita UMNO Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, berkata jentera UMNO di semua peringkat perlu kukuh sebelum ketibaan PRN17 yang dijangka tidak lama lagi.

Katanya, sebarang kelemahan dan kekurangan parti perlu diperbaiki segera dan jika gagal ia dibimbangi boleh mengundang kekalahan calon mewakili UMNO nanti.

Sementara itu, Bung Moktar mengulangi pendirian UMNO Sabah hanya menerima kerjasama dengan parti atau gabungan lain yang menghormati perjanjian apabila ia sudah bersedia ke arah itu.

Beliau berkata, UMNO Sabah banyak belajar daripada kegagalan kerjasama dengan gabungan sebelum ini yang dilihat merugikan parti itu.

“Perkara itu turut mematangkan UMNO Sabah. Kita mahu sebarang keputusan untuk bergabung dengan parti lain tidak akan merugikan UMNO.

“Tapi, apa yang penting ialah UMNO Sabah perlu diperkuatkan terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, mengulas program pemukiman UMNO Papar, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, ia adalah satu pendekatan terbaik ke arah memantapkan parti.

“Pemukiman ini mengumpul jentera parti di semua peringkat untuk sama-sama berbincang mengenai perkara yang menjurus kepada strategi parti khususnya bagi menghadapi PRN17,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin tertinggi UMNO ada menyatakan kecenderungan untuk parti itu dan BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN17.

UMNO Sabah sebelum ini turut rapat dengan Parti Warisan pimpinan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, namun kini dilihat membawa haluan masing-masing.