Anwar Ibrahim: PKR akan terus bersama UMNO

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan untuk mengukuhkan kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya di Semenanjung Malaysia.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dibincangkan menerusi mesyuarat biro politik dan majlis pimpinan parti itu pada Sabtu.

“Jentera parti mesti diperkuat. Dalam mesyuarat itu kita bincang hala tuju parti tentunya urusan kita untuk menyatakan hubungan kita dengan UMNO dan BN kalau di Semenanjung harus diteruskan serta harus lebih akrab lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Perak, Memaknai Reformasi Menjulang Madani di Ipoh pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, pihaknya melihat kemungkinan untuk menyegerakan pemilihan PKR mengikut kaedah yang akan ditetapkan dalam masa terdekat.

“Kita harus melihat kemungkinan menyegerakan pemilihan parti tetapi tidak seperti dulu dengan hiruk-pikuk, kacau-bilau sebaliknya kena ikut peraturan yang lebih teliti.

“Kita sedang kaji cuma keputusan harus disegerakan pemilihan. Saya tidak setuju untuk menangguhkan kerana pilihan raya masih lambat lagi,” katanya.