SPR perlu pilih tarikh sesuai PRK Ayer Kuning

UMNO menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya SPR) untuk menentukan tarikh yang bersesuaian bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning susulan penyandangnya, Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia pada Sabtu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telahpun menghubungi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad agar kekosongan kerusi terbabit dimaklumkan kepada SPR dalam menentukan tarikh yang sesuai bagi mengadakan PRK tersebut.

“Pagi tadi saya telah menghubungi Menteri Besar Perak untuk berbincang mengenai perkara ini kerana saya tidak dapat bersama-sama dengan keluarga untuk menyatakan simpati kami.

“Kami tidak merasa tergesa-gesa untuk melakukannya, namun oleh kerana bulan Ramadan terlalu hampir, tentunya kita mengharapkan tarikh yang akan dipilih oleh SPR ini satu tarikh yang dapat disesuaikan dengan keadaan bulan Ramadan,” katanya di Tawau, Sabah, semalam.

Sebelum itu, Ishsam, 59, disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang jam 6.28 petang Sabtu akibat serangan jantung.

Beliau sebelum itu dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 5.20 petang ketika bersalaman dengan pemain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town.