‘Mana ada 14 Ahli Parlimen UMNO tarik diri?’

“TAK betul dan tak benar, saya pun tidak dengar apa-apa mengenai dakwaan itu,” kata Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias mengenai dakwaan 14 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Kerajaan MADANI seperti tersebar di media sosial.

Jalaluddin berkata di Negeri Sembilan contohnya, semua lima Ahli Parlimen kekal setia bersama UMNO dan tidak ada yang berpaling tadah.

Justeru itu tegasnya provokasi dan penyebaran kononnya 14 Ahli Parlimen dari UMNO berpaling tadah adalah tidak benar.

Jalaluddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menegaskan ahli UMNO juga terikat dengan perjanjian dan akujanji bahawa mereka terikat dengan bon RM100 juta.

“Perlembagaan UMNO sudah dipinda pada 13 Januari 2023 bagi menghalang Ahli Parlimen parti bertindak membelakangi apa juga keputusan termasuk menyertai pakatan politik untuk menyokong seseorang sebagai Perdana Menteri.

“Ini termasuklah menandatangani perjanjian untuk membentuk pakatan dengan parti lawan sekali gus bertentangan dengan pendirian parti,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Bantuan Fokus Kesejahteraan Rakyat (BFkR) Parlimen Jelebu di Kompleks UMNO Jelebu di sini, Sabtu lalu.