Usah mimpi kerjasama UMNO-PN, kata Zahid

UMNO tidak berminat bekerjasama semula dengan Perikatan Nasional (PN) termasuk membentuk kerajaan Perak, kata Presidennya Zahid Hamidi.

Zahid berkata kenyataan dibuat Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin bahawa segala masalah di Perak termasuk berkait ladang babi haram boleh diselesaikan dengan kerjasama dua parti itu sebagai mimpi di siang hari.

“Bagus kalau dibuat lebih lama dulu (kerjasama Umno dan PN bentuk kerajaan), tapi kalau di PRK Ayer Kuning ini baru ada cadangan macam itu saya ingat ini pukul 12.30 tengahari kalau mimpi maknanya mimpi di siang hari,” katanya pada sidang media di Tapah, semalam.

Pengerusi BN itu mengulas kenyataan Hamzah yang gabungan Umno-PN akan mewujudkan majoriti besar bagi membentuk kerajaan Perak.

Hamzah yang juga timbalan pengerusi PN berkata kekuatan itu membolehkan agenda memperjuangkan isu rakyat semakin mudah.

Dalam pada itu, Zahid menepis dakwaan Hamzah mengatakan penyokong Umno cenderung memilih PN selepas BN bekerjasama dengan DAP.

Timbalan perdana menteri itu mendakwa pembangkang mengeluarkan kenyataan seumpama itu kerana menyedari mereka mula hilang sokongan.

“Dulu mereka juga bekerjasama dengan DAP, jadi tidak timbul masalah ini dan pengundi pun tak lagi tertarik.

“Isu dimainkan pembangkang dalam kempen juga isu berulang bukan hanya di Ayer Kuning tapi PRK Mahkota, Nenggiri, Pelangai serta kawasan lain,” katanya.