SUA MCA pendek akal, kata Pemuda UMNO

SEORANG pemimpin Pemuda Umno mendakwa Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon sebagai bersikap pendek akal susulan gesaannya supaya parti itu mencari haluannya sendiri sekiranya Barisan Nasional (BN) gagal menjelaskan hala tuju gabungan terbabit.

Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros berkata Chong gagal melihat gambaran besar.

“Adakah beliau fikir Umno suka menjadi pemain kedua (kepada Pakatan Harapan (PH))? Sudah tentu tidak,” katanya kepada FMT, merujuk kepada kerjasama antara PH dan BN dalam kerajaan perpaduan.

Azleen berkata beliau memahami kekecewaan MCA, memandangkan kecuali di Johor, tiada wakil rakyat MCA memegang jawatan di peringkat persekutuan atau negeri.

Namun katanya, MCA perlu menghargai hakikat bahawa Umno juga mempunyai cabaran tersendiri yang perlu diatasi.

Hakikatnya, selepas hampir dua setengah tahun membentuk kerajaan persekutuan bersama PH, Umno masih belum pulih sepenuhnya.

“Umno masih belum mampu menyatukan orang Melayu di bawah satu payung besar. Ia mengambil masa untuk pulih sepenuhnya,” katanya.

Azleen berharap MCA juga berusaha untuk menarik kembali sokongan masyarakat Cina kepada parti itu.

Beliau berkata MCA mesti terus percaya kepada model pelbagai kaum BN.

“Sebagai sebahagian daripada gabungan BN, MCA mesti percaya bahawa BN masih merupakan formula terbaik untuk mentadbir negara berbilang kaum ini.

“Umno tidak boleh memerintah bersendirian, begitu juga MCA atau MIC. Ia perlu menjadi gabungan berbilang kaum seperti BN,” katanya.

Beliau juga berkata rekod prestasi BN membuktikan bahawa formula tersebut telah berjaya untuk negara.

“Tetapi jika MCA mula hilang keyakinan terhadap BN, apakah alternatifnya dan apa mesej yang MCA ingin sampaikan kepada majoriti rakyat Malaysia yang mahu melihat kemajuan dan sebuah Malaysia yang sederhana?”

Semalam, Chong menggesa parti itu untuk mengawal masa depannya sendiri jika BN terus berlengah membuat keputusan jelas mengenai hala tujunya, menurut laporan Sin Chew Daily.

Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Selayang 2025, beliau berkata MCA telah memberi lebih dua tahun kepada BN untuk merancang semula selepas PRU15, namun ketidakpastian berterusan BN telah menyebabkan ahli MCA kecewa dan keliru.

Chong juga meluahkan rasa kecewanya kerana parti itu telah diketepikan.