Utamakan kementerian, Puad tegur Rafizi

AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi membidas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak menghadiri sidang khas Parlimen berhubung isu tarif Amerika Syarikat (AS) semalam, tetapi menyertai mesyuarat parti sehari sebelumnya.

Adun Rengit itu menggesa Rafizi, yang juga menteri ekonomi, menjelaskan sebab beliau mengambil cuti panjang daripada tugas menterinya.

“Banyak spekulasi dan majoritinya komen negatif. Kalau benar ia ada kaitan dengan isu pemilihan PKR, maka cutinya itu tidak bertanggungjawab.

“Kalau mahu memprotes parti, letaklah jawatan timbalan presiden partinya, bukan cuti panjang dan membiarkan kementerian tanpa bos begitu lama.

“Ia kementerian penting. ‘Ministry first, party second’,” katanya dalam catatan Facebook.

Rafizi tidak menghadiri sidang khas Parlimen berhubung isu tarif AS semalam, tetapi beliau menyertai mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR sehari sebelumnya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR berkata, tindakan Rafizi mengambil cuti panjang tidak perlu dijadikan isu kerana beliau hanya memohon cuti beberapa hari, bukannya sehingga hujung bulan seperti dilaporkan media.

Berita berhubung cuti Rafizi timbul selepas Malaysiakini memetik seorang menteri Kabinet mengesahkan perkara itu dan menolak cakap-cakap mengenai peletakan jawatannya.

Ini berlaku ketika spekulasi timbul berhubung kedudukan politik Rafizi, khasnya selepas beberapa sekutunya tewas dalam pemilihan bahagian PKR baru-baru ini. Beberapa pemimpin bahagian terkenal turut tersingkir, selepas ahli memilih calon kurang dikenali.

Rafizi dijangka mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden PKR dalam pemilihan peringkat pusat bulan ini. Timbul spekulasi beliau mungkin dicabar Saifuddin Nasution Ismail yang juga menteri dalam negeri.