UMNO tak gusar kehilangan Tengku Zafrul

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak gusar atau tertekan dengan tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz keluar daripada parti.

Malah, tindakan itu disifatkan wajar sekiranya ketidaksetiaan terhadap perjuangan parti tidak lagi wujud.

“Kebanyakan akar umbi menyatakan eloklah keluar kalau tidak ada ketidaksetiaan di dalam parti, jangan ganggu dia sedang lakukan ibadah haji diharapkan dapat hidayah baharu dan ketenangan akan selubungi minda beliau,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pre council bersama delegasi Malaysia di London semalam, sempena lawatan kerja empat hari ke United Kingdom.

Pada 30 Mei lalu, Tengku Datuk Seri Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Majlis Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta ahli UMNO.

Pada masa sama, beliau menyatakan niat untuk menyertai PKR.

Mengulas isu rombakan Kabinet, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menegaskan, pelantikan atau pertukaran menteri adalah hak mutlak Perdana Menteri.

“Perkara itu lebih sesuai dibincangkan secara dalaman dan tidak perlu diperkatakan secara terbuka supaya tiada interpretasi yang pelbagai,” katanya.

Sebelum ini, beliau menyarankan agar Perdana Menteri mempertimbangkan pengisian semula satu kerusi menteri untuk wakil Barisan Nasional susulan kekosongan ditinggalkan Tengku Datuk Seri Zafrul.

Tegasnya, meskipun pelantikan Kabinet adalah prerogatif Perdana Menteri, agihan jawatan wajar mengambil kira keseimbangan kuota wakil dalam Kerajaan Perpaduan.