UMNO Batu akhiri kerjasama dengan PH WP

BIRO Politik UMNO Bahagian Batu mengumumkan keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di kawasan Batu dan Wilayah Persekutuan (WP).

Ketua Bahagiannya, Datuk Gulam Muszaffar, berkata keputusan itu diambil selepas mendakwa berlaku layanan berat sebelah terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) di WP yang disifatkan tidak menghormati kedudukan parti itu sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau mendakwa kuota Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang pada awalnya diperuntukkan kepada UMNO diberikan kepada PH, selain tiada peruntukan diterima setiap kali UMNO mengadakan program.

“Kalau hendak berkawan, biarlah seperti kawan. Jangan pula cuba mencampuri urusan kuota yang menjadi hak kami,” katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan ketika dihubungi, semalam.

Gulam berkata, sebelum ini UMNO Bahagian Batu sudah mengadakan pertemuan dengan setiausaha politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan berhubung isu pelantikan semula MPP dan agihan kuota.

Katanya, hasil pertemuan itu dipersetujui BN akan menerima satu kuota bagi setiap kawasan Parlimen dan perkara itu turut dimuktamadkan dalam pekeliling rasmi.

Namun sebaliknya berlaku apabila menteri memberi semua enam kuota itu kepada PH. Kalau mereka hendak beri lima kuota kepada mana-mana pihak dalam PKR, itu hak mereka.

“Tetapi kenapa perlu usik kuota BN? Itu jelas tidak adil,” katanya.

Terdahulu, Gulam melalui Facebook memaklumkan beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan menteri itu.