UMNO Sabah hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar bertindak segera terhadap Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (gambar), yang disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah menerima sumbangan politik tanpa mengisytiharkannya.
Ketua Sekretariat Gerak Saraf UMNO Sabah, Abdul Aziz Julkarnain berkata perkara itu mesti disiasat segera kerana ia sesuatu yang berat kerana melanggar tatasusila dan ketelusan kerajaan negeri.
“Apa yang lebih mengejutkan ialah ia dilakukan seorang pemimpin yang selama ini memperjuangkan hak rakyat Sabah menerusi slogan ‘Sabah untuk Rakyat Sabah’.
“Slogan ini sudah tiada maknanya,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu.
Sebelum itu, Kitingan yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dilaporkan berkata ‘tidak ingat langsung’ mengenai perbualannya dengan ahli perniagaan bernama Albert Tei berhubung rasuah bagi mengeluarkan lesen perlombongan di negeri itu.
Bagaimanapun, beliau berkata sumbangan itu, jika ada, dibuat lama dahulu sebelum pilihanraya negeri dan ia tiada kaitan dengan skandal perlombongan membabitkan beberapa ahli Dewan Undangan Negeri, baru-baru ini.