Presiden Warisan itu berkata partinya akan bertanding di semua 73 kerusi DUN, dan ketetapan itu sudah dibuat dua kali dalam mesyuarat majlis tertinggi parti.
“Kita telah menyatakan pendirian Warisan ialah kita bergabung dengan rakyat dan akan meletak (calon) di 73 kerusi seluruh Sabah.
“Kenapa pula ada bunyi-bunyi gabungan dengan mana-mana pihak? Kita sudah umumkan dua kali dalam mesyuarat majlis tertinggi,” katanya pada satu majlis di Pitas, Sabah.
Kenyataan itu menyusuli laporan memetik Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata partinya tidak menolak kerjasama dengan semua parti termasuk Warisan, kecuali Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pada PRN Sabah.
Dalam pada itu, Shafie berkata Warisan fokus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah, khususnya dalam menyediakan keperluan asas yang mendesak ketika ini.
“Saya ulang, kita tidak ada gabungan dengan mana-mana parti. Kita bergabung dengan rakyat dalam pembelaan rakyat pada kali ini,” katanya.