BELANJAWAN 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan bahawa Kerajaan MADANI terus mengutamakan tanggungjawab fiskal yang berhemat, seiring dengan keprihatinan terhadap rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Belanjawan 2026 itu inklusif kerana ia bukan sahaja bertujuan melindungi rakyat daripada cabaran global, malah ia adalah pelaburan untuk masa depan.
Menurutnya, Belanjawan 2026 itu merangkumi perbelanjaan mengurus Persekutuan, perbelanjaan pembangunan Persekutuan, pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), pelaburan awam-swasta dan yang lain dengan jumlah keseluruhan mencecah RM470 bilion.
Ahmad Zahid juga mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana telah meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajuinya.
“Alhamdulillah, peruntukan kepada KKDW pada tahun 2026 berjumlah RM12.4 bilion, meningkat sebanyak 3.69 peratus berbanding tahun 2025,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau yang juga Menteri KKDW berkata, peningkatan ketara itu menjurus ke arah tonggak pembangunan sosio ekonomi desa dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan FELCRA Bhd (FELCRA) antara beberapa agensi yang diberikan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion.
“Begitu juga peruntukan untuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) sama ada pendidikan usahawan dan lain-lain juga telah dipertingkatkan.
“Bagi komuniti orang asli, peningkatan belanjawan ini ialah RM412 juta, di mana ia juga meliputi tentang peningkatan premis tabika orang asli dan Program Chup Badui Sikulah yang sangat dekat dengan pendidikan anak orang asli.
“Manakala kadar Bantuan Sara Hidup (untuk) 4,000 pesara kontrak KEMAS dinaikkan daripada RM300 kepada RM500 sebulan,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, peruntukan sebanyak RM460 juta bagi program pencegahan banjir jangka panjang dan RM2.2 bilion untuk rancangan tebatan banjir kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga merupakan satu pendekatan terbaik diambil kerajaan.
“Insya-Allah bagi menghadapi musim tengkujuh ini, kita akan menggunakan segala peruntukan untuk NADMA kepada kumpulan sasaran yang telah kita kenalpasti,” katanya.