KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyelar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana mengugut wartawan dan tidak menghormati kebebasan media yang pernah diperjuangkannya ketika menjadi pembangkang.
“Orang yang pernah mengkritik kerajaan (terdahulu) mengenai kebebasan media ketika menjadi pembangkang, kita sudah pandai pengugut wartawan apabila menjadi menteri,” katanya di paparan Facebook, Sabtu lalu.
Satu klip video sebelum itu menunjukkan Nga, yang juga timbalan pengerusi DAP, memarahi wartawan Utusan Malaysia ketika satu sidang akhbar, menjadi tular di media sosial.
Dalam video itu, Nga dilihat bertanya media apa yang wartawan berkenaan wakili.
Apabila mendengar dia dari Utusan Malaysia, Nga berkata: “Saya akan ingat, dan saya akan menghubungi editor awak. Saya tak mahu awak datang sini dengan soalan sebegitu. Saya minta Utusan bertanggungjawab sepenuhnya…”
Ia berlaku di pelancaran projek “I Lite-U” kementerian berkenaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 apabila Nga ditanya kenapa dia tidak menggunakan Bahasa Malaysia.
Bagaimanapun, isu itu dianggap selesai selepas Nga mengadakan satu majlis makan malam untuk wartawan, kelmarin.
							
					
					
	
							