Hampir 80% ahli di Sabah tak undi Umno

PILIHANRAYA negeri Sabah baru-baru ini mendedahkan betapa ahli Umno negeri itu tidak mengundi parti sendiri, kata setiausaha agung, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya, Umno ke Sabah dengan keyakinan agar 622,637 ahlinya di negeri itu mengundinya, tetapi malangnya hanya 144,584 berbuat demikian. Ia merangkumi hanya 23 peratus daripada keseluruhan ahli Umno negeri itu.
“Kita sering berbangga dengan pertambahan ahli sebagai tanpa pemerkasaan parti tetapi hakikatnya jumlah ahli yang ramai tidak semestinya menjamin kemenangan kita.
“Pengajarannya amat jelas – ahli tak semestinya pengundi kita,” katanya di Perhimpunan Agung Umno, di Kuala Lumpur, hari ini.

Umno tewas teruk di PRN ke-17 Sabah apabila hanya memenangi 4 kerusi manakala komponennya dalam Barisan Nasional, Parti Bersatu Rakyat Sabah menang satu kerusi.

Malah, penyandangnya lamanya seperti Salleh Said Keruah, Mohamad Alamin dan Suhaimi Nasir turut kecundang di kawasan masing-masing.

Asyraf berkata Umno Sabah turut mengalami tiga arus pembelotan yang melemahkannya, bermula dengan penubuhan parti Warisan oleh bekas naib presidennya, Shafie Apdal pada tahun 2016.

Ini diikuti pembelotan beberapa pemimpinnya ke Bersatu pada 2018, dan sekali lagi pada 2023 apabila sebahagian lain melompat ke Gabungan Rakyat Sabah.