UMNO menegaskan parti itu tidak pernah bersama DAP, sebaliknya kerjasama mereka hanya untuk menguruskan negara mengikut perjanjian yang dimeterai.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerjasama itu dijalinkan berikutan tiada parti mempunyai jumlah kerusi sendiri yang mencukupi untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Kita tidak pernah pun bersama DAP. Kita membuat perjanjian untuk menguruskan negara.
“UMNO atau Barisan Nasional (BN) berjanji kerana kita hendak menyelamatkan dan menguruskan negara.
“Ini kerana negara tidak berkerajaan selama lebih lima hari selepas pilihan raya… pertama kalinya.
“Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN)… mereka tidak boleh menubuhkan kerajaan (ketika itu). Apabila mereka tidak boleh menubuhkan kerajaan, PN menolak titah Tuanku (Yang di-Pertuan Agong ketika itu)… jadi kami dipanggil (untuk bekerjasama menubuhkan kerajaan),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada para wartawan selepas melawat Laman Media pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada Sabtu (17 Jan).
