Pemilihan dalam parti ditunda selepas PRU16

UMNO menangguhkan pemilihan peringkat parti sehingga selepas pilihanraya umum ke-16 manakala perhimpunan agung tahun ini akan diadakan pada 12-16 Ogos.
Setiausaha agung, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata mesyuarat cawangan akan mengadakan mesyuarat agung tahunan mulai 1 April hingga 17 Mei manakala bahagian pula pada 1 Jun hingga 12 Julai.

“Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi hari ini setuju untuk menangguhkan pemilihan peringkat parti yang sepatutnya diadakan akhir tahun ini kepada suatu tempoh selama enam bulan selepas PRU16.

“Ini bagi memastikan jentera parti berada di tahap cukup sedia untuk pilihanraya umum,” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik menerajui parti pada 2018, menggantikan Datuk Seri Najib Razak yang melepaskan semua jawatan apabila parti itu tewas pada PRU14.

Beliau mengekalkan jawatan sebagai presiden Umno tanpa bertanding pada 2023 selepas perhimpunan agung meluluskan usul agar dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

PRU ke-16 mesti diadakan tidak lewat daripada Februari 2028 manakala pilihanraya negeri Melaka dan Johor pula mesti diadakan sebelum Februari dan Jun.