UMNO dan Pakatan Harapan (PH) sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Ia antara tiga persetujuan dan ketetapan dicapai hasil Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH yang dipengerusikan bersama Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, petang semalam.
Ketetapan itu merujuk krisis kepimpinan yang melanda selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Tindakan semua ADUN UMNO/ BN Negeri Sembilan itu tercetus akibat krisis membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri itu, susulan tindakan seorang Undang Luak yang dilaporkan mengisytihar menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Melalui kenyataan bersama ditandatangani Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH menghormati pendirian yang diputuskan kedua-dua Biro Politik masing-masing dalam menyentuh isu di Negeri Sembilan.
“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan mesti segera dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH,” demikian kata kenyataan itu.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH yang dikatakan bermula jam 5.15 petang di Seri Perdana di Putrajaya selesai selepas kira-kira sejam.
Antara yang hadir dalam pertemuan itu termasuklah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
