MENDEPANI REALITI BANGSA MUKADIMAH
1. Saudara-saudari yang saya kasihi, 80 tahun UMNO meniti sejarah bangsa. 80 tahun UMNO mengharungi pasang dan surut perjuangan. 80 tahun UMNO menghimpunkan kekuatan yang berselerak. 80 tahun UMNO mempertahankan prinsip yang tidak pernah berubah.
2. Kita sentiasa mara dengan keberanian. Kita sentiasa menilai keadaan dengan kebijaksanaan. Kita sentiasa mempertahankan apa yang wajib dipertahankan. Dan kita sentiasa menyesuaikan pendekatan agar perjuangan tidak terhenti di tengah jalan.
3. Jangan kita menyangka hanya ahli UMNO yang sedang menunggu apa yang akan lahir daripada perhimpunan ini. Rakyat di luar sana sedang memerhati. Kawan dan lawan sedang menilai. Mereka mahu mengetahui apakah gerakan politik yang bakal kita lakarkan dan apakah penyelesaian yang mahu UMNO bawa untuk rakyat dan negara. Sebencimanapun mereka kepada UMNO, mereka tetap mengikuti dengan rapat perjalanan parti keramat ini.
4. Mereka bertanya: Ke mana arah UMNO selepas ini? Dengan parti mana UMNO akan bekerjasama? Apakah bentuk politik yang mahu kita tawarkan? Dan yang lebih penting, mereka ingin tahu kenapa UMNO perlu diberikan semula kepercayaan. MEMAHAMI REALITI POLITIK Sidang perwakilan sekalian,
5. Sejarah sesebuah perjuangan tidak ditulis oleh keberanian semata-mata. Ia turut dibentuk oleh kebijaksanaan membaca zaman, memahami realiti perubahan dan memilih langkah yang tepat ketika dunia terus bergerak.
6. Para pendahulu kita cukup berani membaca realiti. Peristiwa Malayan Union yang menggugat kedudukan Raja-Raja Melayu, gerakan Melayu yang terpisah-pisah telah membangkitkan kesedaran yang akhirnya melahirkan UMNO.
7. Dengan kesedaran itu ia menyuntik semangat nasionalisme yang menuntut UMNO bergerak untuk mencapai hasrat pemerintahan sendiri. Para pendahulu kita cukup bijak membaca realiti bahawa kemerdekaan memerlukan kekuatan politik, mandat rakyat dan hikmah dalam perundingan.
8. Mereka juga membaca satu lagi realiti. Tanah Melayu bukan sebuah negeri yang dihuni oleh satu kaum sahaja. Sebuah negara merdeka tidak boleh dibina dengan memisahkan.
9. Maka UMNO membina persefahaman dengan MCA dan kemudiannya MIC sehingga lahirlah Parti Perikatan. Langkah itu tidak pernah melemahkan perjuangan Melayu. Sebaliknya, ia memperkukuh kedudukan UMNO dalam memimpin negara yang merdeka.
10. Selepas kemerdekaan, realiti berubah lagi. Negara berhadapan jurang ekonomi, ketegangan kaum dan politik yang semakin berpecah. Tragedi 13 Mei 1969 menjadi luka besar dan peringatan bahawa kestabilan tidak akan kekal dengan sendirinya.
11. Maka formula lama dinilai semula. Perikatan diperluas menjadi Barisan Nasional pada tahun 1974, menghimpunkan lebih banyak parti, kawan mahupun lawan menjadi suara yang lebih representatif dalam satu kerangka kerjasama. Itulah hikmah yang diwariskan kepada kita.
12. Jika pendahulu kita telah membuktikan kemampuan memahami realiti zaman mereka, maka hari ini, sejarah meletakkan generasi kita pula di gelanggangnya. Persoalannya bukan lagi sama ada realiti telah berubah atau tidak. Akan tetapi, apakah kita punya keberanian dan kemampuan untuk mendepani realiti yang ada di hadapan kita?
MENDEPANI REALITI POLITIK
Saudara-saudaraku sekalian,
13. Kejatuhan pada tahun 2018 tidak bermula pada malam keputusan pilihan raya diumumkan. Isyaratnya sudah kelihatan lebih awal. Tahun 2008, Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga. 2013 sokongan terus terhakis. Manakala 2018 sebuah parti yang lebih enam dekad menerajui negara, akhirnya kehilangan penguasaan di Putrajaya.
14. Kita boleh kemukakan pelbagai asbab. Ada fitnah. Ada persepsi yang gagal ditangani. Ada serangan politik yang disusun dengan rapi. Namun parti yang mahu bangkit tidak boleh hanya dengan menyalahkan orang lain. Kita harus sedar, selalunya kejatuhan tidak bermula ketika kita kalah. Sebaliknya, ia bermula apabila kita terlalu yakin yang kita tidak akan pernah kalah.
15. Lapan tahun saya memikul amanah. Kita bermula dari sebuah kejatuhan. Kita menyaksikan kawan menjadi lawan, lawan menjadi rakan, kerajaan dan politik berubah jajaran. Semua ini mengajar satu perkara – UMNO tidak boleh membeku pada suatu pendekatan ketika realiti di sekelilingnya berubah begitu pantas. Daripada pemerintah kepada pembangkang. Daripada dominan kepada berkongsi kuasa. Kita memasakkan semula erti perjuangan. Kita rapatkan saf dan pulihkan keyakinan. Kita atur langkah menyusun kebangkitan. Kini.. kini masanya untuk kita mencipta semula kemenangan.
16. Berdasarkan realiti lapan tahun yang kita lalui bersama ini.. saya nak tanya perwakilan sekalian: Adakah kita sudah cukup insaf? Adakah kita sudah cukup faham tuntutan zaman? Adakah kita sudah cukup membuat persediaan? Jangan hanya tepuk dada tanya selera. Tetapi tepuklah dada untuk mara bekerja. Boleh?
MENGEMBALIKAN WATAK PARTI PEMERINTAHAN
17. Di sinilah kita perlu mengingati kembali watak sebenar UMNO. Kita tidak hanya berfikir dari satu penggal ke satu penggal pilihan raya yang lain. Hakikatnya UMNO adalah parti yang sentiasa merancang pembangunan negara melangkaui usia satu generasi.
18. Dasar Ekonomi Baru sebagai contoh, tidak dirangka untuk mendapatkan tepukan semusim. Transformasi Nasional 2050 atau TN50 pula digagaskan untuk menyantuni pemikiran dan hasrat gen-Z sehingga generasi Alpha.
19. Begitulah cara parti pemerintah berfikir. Bukan sekadar bertanya siapa akan menang pilihan raya berikutnya, tetapi corak negara yang bagaimana mahu kita wariskan kepada generasi seterusnya. Kita juga bukan parti yang menjanjikan menang hari ini, segala masalah akan selesai keesokan harinya.
20. Sidang perwakilan, dalam tempoh lapan tahun ini juga, kita menyaksikan negara terperangkap dalam permanent political warfare – peperangan politik yang tidak berkesudahan walaupun pilihan raya telah lama selesai. Rakyat semakin penat mendengar: Siapa yang mahu dijatuhkan? Siapa yang mahu disiasat dan siapa lagi yang mahu dipersalahkan? Hakikatnya… Rakyat hanya nak tahu: Siapakah yang mampu beri penyelesaian?
MEMBACA MEDAN YANG TELAH BERUBAH
21. Politik hari ini jauh lebih rencam. Politik Melayu tidak lagi berpusat pada satu wadah. Kesetiaan pengundi tidak lagi diwarisi. Putih dahulu, tidak semestinya putih selamanya. Generasi baharu pula tidak terikat dengan nostalgia politik yang lama.
22. Sebab itu, kita tidak boleh guna satu formula untuk semua medan. Demografi berbeza. Isu berbeza. Calon berbeza. Sentimen juga berbeza. Begitulah keadaannya hari ini. Di Sabah ia memberikan kita pengajaran. Di Johor ia membangkitkan keyakinan. Negeri Sembilan pula menunjukkan bahawa persefahaman boleh menjadi kekuatan. Manakala Melaka insya-Allah akan menjadi medan seterusnya yang menguji sejauh mana Gelombang Biru benar-benar dapat diterjemahkan. Gelombang Biru bukan hanya untuk menjadikan UMNO sebagai pelengkap Kerajaan. PRU-16 adalah detik penentuan bagi kita mendapatkan semula mandat menerajui kepimpinan.
Justeru, telah tiba masanya PRU-16 perlu segera diadakan. Setuju? Alang-alang menyeluk pekasam. Biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang kita dah berlawan… Kita lawan… lawan sampai…!
MEMIMPIN DALAM KEMAJMUKAN
23. Sidang perwakilan, walaupun DNA UMNO ialah DNA memimpin. Namun, kemenangan itu tidak datang bergolek. Ia dilengkapi dengan strategi dan percaturan yang memahami realiti di lapangan.
24. Selama 80 tahun kita memimpin, kita tidak memencilkan masyarakat lain. Kita pertahankan asas kenegaraan. Kita perjuangkan Melayu, kita jugalah yang menyatukan kemajmukan melalui Perikatan dan Barisan Nasional. Kita pertahankan Islam, kita jugalah yang memastikan kebebasan beragama. Kita perkasakan Bumiputera, tetapi kita juga menghormati hak kepelbagaian kaum dan etnik serta keunikan wilayah Sabah dan Sarawak.
25. Pendirian kita ini selari dengan kecenderungan dunia. Banyak negara hari ini kembali berbicara tentang akar, identiti, kedaulatan dan rasa memiliki atau keperi-bumian. Istilahnya mungkin berbeza — nationalism, nativism, sovereignism, politics of belonging — tetapi keresahannya hampir sama.
26. Dunia sedang kembali mencari akar. Maka kita juga harus berani kembali kepada akar supaya kita tahu siapa kita, apa yang kita warisi, apa yang mesti kita pertahankan dan apa yang menjadi amanah kita kepada seluruh rakyat.
27. Keperi-bumian bukan politik perkauman. Ia adalah pengakuan terhadap sejarah, warisan dan asas pembentukan negara. Inilah akar yang membentuk identiti tanah air. Semakin dalam akar mencengkam bumi. Semakin kukuh pohon berdiri. Semakin luas teduhan yang mampu diberi. Oleh kita, oleh UMNO, oleh Barisan Nasional.
28. Justeru, kita mesti perkukuhkan kefahaman dan penghayatan dalam kalangan rakyat bahawa keindukan peribumi adalah amanah yang mesti dipertahankan bagi menjamin kestabilan dan kerukunan hidup antara kaum.
29. Amanah inilah yang membezakan kepimpinan dengan dominasi. Dominasi mahu orang lain tunduk. Kepimpinan membuat orang lain yakin untuk berjalan bersama. Dan bagi saya, di situlah letaknya makna sebenar keindukan dalam kemajmukan.
30. Sebab itu MCA, MIC, PBRS, PPP serta Friends of BN bukan sekadar penghias pentas pada musim pilihan raya. Kita dan mereka adalah sebahagian daripada sejarah dan masa depan sebuah formula yang membuktikan bahawa politik Melayu mampu memimpin perkongsian kuasa. Saya mahu orang Melayu kuat, tanpa orang lain hidup dalam ketakutan. Saya mahu Islam terus dimartabatkan, tanpa agama lain merasa terancam. Saya mahu UMNO menjadi induk kekuatan politik Melayu, tetapi cukup besar jiwanya untuk berkongsi kekuasaan.
31. Kerana inilah nilai kepimpinan yang saya mahukan. Memimpin bukan bererti menguasai. Kita mahu semua pihak agar yakin untuk seiring dan sejalan atas dasar kepercayaan. Bak kata rakan-rakan kita di Sabah sompuru son-wayaan dan sahabat kita di Sarawak pula segulai sejalai.
DARIPADA RUMAH BANGSA KEPADA TAFAHUM SIYASI
32. Sidang perwakilan sekalian. Namun untuk memimpin ia mesti bermula dengan kekuatan dalaman. Sebab itulah kita tampil dengan agenda Rumah Bangsa bagi memberikan ruang kepada mereka yang pernah kecewa, pernah menjauh dan kini mahu kembali menyumbang.
33. Terima kasih kepada seluruh keluarga besar UMNO kerana menyambut baik agenda Rumah Bangsa ini. Natijahnya, kita bukan hanya meraikan kepulangan. Malah, menyambut kehadiran generasi baharu untuk bersama-sama dengan perjuangan kita.
34. Saya ingin mengulangi seruan saya, rumah ini sentiasa terbuka luas. Bagi yang pernah membakar jambatan, Bagi yang mendirikan tembok perbezaan Bagi yang membina pondok baru untuk teduhan Tidak mengapa… Kembalilah… Jambatan boleh kita sambungkan. Tembok boleh kita runtuhkan. Pondok boleh kita tinggalkan. Rumah ini cukup besar untuk menerima kalian. Kita berhimpun di rumah ini atas kasih kita kepada perjuangan. Dan perjuangannya tidak akan pernah padam. Cuma… Janganlah kembali untuk menghidupkan semula api persengketaan.
35. Kepada anak-anak muda, jadikanlah Rumah Bangsa ini juga tempat untuk anakanda sekalian berkarya. Ayahanda membuka seluas-luasnya ruang untuk kalian melakar kanvas perjuangan UMNO. Rumah ini juga rumah anakanda. Masuklah, bukalah jendelanya, susun semula ruangnya dan warnailah dinding perjuangannya dengan idea serta impian generasi kalian.
Ayahanda hanya mahu memastikan rumah ini kekal menjadi tempat berteduh generasi zaman berzaman.
Kalau anakanda ada idea yang “slay”, jangan simpan. Flex-kan. Biar kita tengok siapa yang benar-benar boleh bawa “W” kepada UMNO. For real, For Real.
36. Kita faham tak apa bahasa anak muda ini? Bolehkah kita bercakap macam ni dengan mereka? Inilah bahasa mereka sekarang. Kepada pemuda dan puteri, dekatilah dan santunilah mereka. Insya-Allah mereka akan datang kepada kita.
37. Sidang perwakilan. Selain Rumah Bangsa, kita juga membuka pemikiran bangsa melalui Musyawarah Nasional. Kita menghimpunkan ulama, akademia, profesional, teknokrat, usahawan, masyarakat sivil dan generasi baru. Melalui platform ini, kita mahu isu-isu kenegaraan dibahas secara ilmiah.
38. Alhamdulillah. Musyawarah Nasional telah berjaya menganjurkan dua siri musyawarah. Kedua-dua musyawarah ini mendapat sambutan dan membawa perspektif baharu terhadap isu-isu besar negara. Insya-Allah, kita menantikan siri ketiga Musyawarah Nasional yang akan diadakan di Melaka dalam waktu terdekat.
PERSEFAHAMAN POLITIK (TAFAHUM SIYASI)
Sidang perwakilan,
39. Semasa Perhimpunan Agung yang lalu, saya telah melontarkan gagasan Grand Collaboration atau Kolaborasi Agung. Gagasan ini menuntut kita untuk mewujudkan persefahaman politik antara gabungan parti-parti politik yang sedia ada di negara ini.
40. Kolaborasi Agung bukan merupakan penggabungan parti. Sebaliknya ia adalah persefahaman bagi mengelakkan pertembungan yang merugikan. Saya faham… Saya juga boleh membaca resahnya orang Melayu… Mereka tak mahu lagi kita bertembung. Mereka tak nak lagi kita berbalah sesama sendiri. Di dewan ini kita telah melalui episod linangan air mata. Di pentas ini kita berjanji setia. Di luar sana persaudaraan ini disambut dengan gembira. Namun… kehadiran orang ketiga meretakkan hubungan yang dibina. Sudah-sudahlah… kita lupakan episod lama. Marilah kita menjalin semula penyatuan ini yang begitu didambakan oleh orang Melayu.
41. Namun dalam membina titik temu, kita tidak memaksa mana-mana pihak mencairkan identitinya. Dalam kata lain, dengan siapa pun kita bekerjasama, UMNO tetap UMNO. Barisan Nasional tetap Barisan Nasional.
42. Untuk itu, persefahaman politik ini atau dalam istilahnya disebut ‘Tafahum Siyasi’ mempunyai asas-asas yang perlu disepakati bersama: Pertama, utamakan persamaan demi maslahah umum. Kedua, hormati perbezaan ideologi, identiti dan garis sempadan masing-masing. Ketiga, pegang kepada prinsip toleransi dan anjal dalam membuat keputusan.
43. Ingatlah kepada firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’ 59: Jika kamu berbeda pendapat tentang sesuatu, kembalikanlah kepada Allah dan Rasul-Nya
44. Ringkasnya, persefahaman ini bukan hanya kerana kita mempunyai musuh yang sama. Persefahaman ini insya-Allah akan mewujudkan kestabilan politik negara, merancakkan ekonomi demi kemakmuran, menjamin keadilan kepada semua dan memperkukuhkan perpaduan rakyat dan antara wilayah
45. Akan tetapi, ada prasyarat kepada persefahaman politik ini yang tidak boleh dirundingi. Jangan khianat-mengkhianati. Jangan bina persefahaman pada waktu siang tetapi merancang menjatuhkan rakan di malam hari. Jangan perjanjian ditandatangani, dalam masa yang sama ia dimungkiri. Jika kerbau diikat pada tali, manusia diikat dengan janji.
46. Maka Kolaborasi Agung melalui persefahaman ini perlu mengambil ibrah Perjanjian Hudaibiyah yang menatijahkan hikmah yang cukup besar, sehingga membawa kepada pembukaan kota Mekah atau ‘Fathu Makkah’.
47. Fathu Makkah mengajar bahawa kemenangan tidak hanya diukur pada kemampuan memperoleh kuasa. Ukuran yang lebih besar ialah bagaimana kuasa itu digunakan setelah kemenangan berada di tangan. Fathu Makkah juga turut dikenali sebagai hari berkasih sayang atau ‘Yaumul Marhamah’.
48. Jika Fathu Makkah menjanjikan kemaafan, keampunan dan keselamatan. Begitu jugalah dengan Rumah Bangsa, atuk ke… abah ke… pak long ke… pak ngah ke… kembalilah.
49. Ini bermakna: Kemenangan bukan untuk membazirkan tenaga negara menghidupkan dendam yang lama. Kemenangan bukan untuk menghukum mereka yang tidak bersama. Kemenangan bukan untuk melebarkan sengketa. Sebaliknya Kemenangan adalah amanah untuk menyatukan rakyat, memulihkan negara dan membina masa depan sejahtera untuk semua.
50. Saya teringat Mutiara kata Pendeta Za’ba: “Barang apa yang memberi manfaat kepada dirinya atau kumpulannya, adalah memberi manfaat kepada keseluruhan bangsanya, dan barang apa yang memberi mudarat kepada dirinya atau kumpulannya, tetaplah memberi mudarat kepada tubuh bangsanya sendiri”
AGENDA MALAYSIA BIRU
Sidang perwakilan sekalian,
51. Dengan Gelombang Biru yang kita bawa dan persefahaman politik yang kita bina. Insya-Allah, andai ditakdirkan kita kembali menerajui Putrajaya, saya dan UMNO dan Barisan Nasional ingin gariskan Agenda Malaysia Biru menjelang 100 tahun usia kemerdekaan dengan lapan ikhtiar utama untuk membentuk negara.
52. Agenda Malaysia Biru membawa maksud: Berdaulat dan Bersatu Inovatif dan Berpendapatan Tinggi Rakyat Makmur dan Saksama Unggul dan Disegani Dunia
53. Dengan Agenda Malaysia Biru ini kita mahu mencipta kekayaan negara, membina manusia, memperluas pemilikan, menjaga kesejahteraan, menghadapi krisis, memelihara rakyat, membina kepercayaan dan mempertahankan kepentingan nasional.
54. Ikhtiar yang pertama menjadikan MALAYSIA NEGARA PENCIPTA. Kita bermula sebagai negara pertanian. Kemudian kita melakukan lonjakan perindustrian. Kini kita mesti melakukan anjakan yang seterusnya. Malaysia mesti menjadi Negara Pencipta.
55. Kita mahu dunia menggunakan teknologi ciptaan anak bangsa, membeli jenama Malaysia. Kita mahu bergerak daripada Made in Malaysia kepada Made by Malaysia. Negara mesti meletakkan sasaran syarikat teknologi dan industri bertaraf global yang Invented, Designed and Owned by Malaysian.
56. Ikhtiar kedua menjadikan MALAYSIA NEGARA BERKEMAHIRAN. Dengan mengarusperdanakan TVET, kita mahu anak-anak Politeknik, GiatMARA, IKM dan professional Huffaz sama-sama membentuk Malaysia menjadi sebuah Skills Nation. Negara yang meletakkan kemahiran, kepakaran dan pembelajaran sepanjang hayat sebagai mata wang baharu kemajuan.
57. Kita mensasarkan 80 peratus tenaga kerja negara berada dalam kategori berkemahiran tinggi dan memperolehi gaji premium.
58. Manakala ikhtiar ketiga menjadikan MALAYSIA NEGARA PEMILIK. Selama ini kita banyak mengukur kemajuan rakyat melalui pendapatan. Hakikatnya rakyat yang benar-benar berdaya maju mesti mempunyai pemilikan seperti… rumah, perusahaan, saham, harta intelek, simpanan mahupun aset produktif.
59. Sebab itu saya mahu kita bergerak daripada masyarakat yang hanya berpendapatan kepada masyarakat yang memiliki. Sasaran kita 60 peratus daripada rakyat dewasa Malaysia memiliki secara langsung sekurang-kurangnya satu aset yang menjana nilai.
60. Ikhtiar keempat untuk menjadikan MALAYSIA NEGARA SEJAHTERA. Kita mesti berani mengubah cara kita menilai kejayaan ekonomi. KDNK itu penting. Tetapi rakyat tidak hidup di dalam angka KDNK.
61. Mereka hidup dengan gaji yang dibawa pulang. Bayangkan seorang ayah yang berpendapatan RM5,000 ringgit tentunya memikirkan komitmen bulanan. Macam mana nak bayar ansuran rumah, yuran pendidikan, kos perubatan, malah belum kira kuota BUDI yang kehabisan. Tentunya ini menimbulkan keresahan, apakah masih ada simpanan untuk meneruskan kehidupan hari esok.
62. Oleh itu, Negara Sejahtera mestilah meletakkan sasaran setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan boleh guna (surplus) selepas memenuhi keperluan asas bagi menyimpan, melabur dan menikmati kehidupan.
63. Dunia hari ini semakin tidak menentu. Untuk itu, ikhtiar kelima ialah menjadikan MALAYSIA NEGARA BERDAYA TAHAN. Pandemik mengajar kita tentang kesihatan. Perang mengajar kita tentang bekalan tenaga dan makanan. Banjir mengajar kita tentang perubahan iklim. Serangan siber pula mengingatkan bahawa ancaman hari ini tidak lagi datang hanya melalui sempadan fizikal.
64. Maka Malaysia mesti menjadi sebuah Resilient Nation — Negara Berdaya Tahan dalam menghadapi krisis. Sasaran kita, Malaysia mesti mempunyai sekurang-kurangnya 70 peratus kemandirian terhadap keperluan strategik merangkumi keterjaminan makanan, bekalan perubatan, hubungan telekomunikasi, sumber tenaga dan air, pertahanan dan industri strategik dalam tempoh tersebut.
65. Ikhtiar keenam pula menjadikan MALAYSIA NEGARA PEDULI. Malaysia sedang menuju masyarakat menua. Pada masa yang sama, keluarga muda berhadapan kos penjagaan anak, ramai anak menjaga ibu bapa yang uzur, dan sebahagian besar kerja penjagaan masih dilakukan tanpa pengiktirafan ekonomi yang sewajarnya.
66. Sebab itu kita mesti membina sebuah Care Nation atau Negara Peduli, yang menjamin akses terhadap penjagaan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya dan pesakit jangka panjang. Para penjaga mestilah menjadi sebahagian daripada senibina ekonomi negara, bukan sekadar isu kebajikan di pinggir dasar.
67. Ikhtiar ketujuh, kita bertekad menjadikan MALAYSIA NEGARA BERAMANAH. Kekayaan boleh dibina. Infrastruktur boleh didirikan. Tetapi apabila kepercayaan runtuh, segala-galanya menjadi lebih sukar. Kita mahu rakyat percaya kepada mahkamah dan bukannya mahkamah diperalatkan. Pelabur percaya kepada 28 peraturan. Penjawat awam percaya kepada sistem dan tidak dihantui dengan ugutan. Dan siapa pun yang menjadi Kerajaan, institusi negara tidak boleh dijadikan alat demi kepentingan politik.
68. Dengan itu, ikhtiar ini mensasarkan Malaysia akan berada dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dari segi integriti, tadbir urus dan kedaulatan undangundang. Kita mahu rule of law, bukan rule by law. Good governance bukan sekadar teriakan dalam manifesto. Sebaliknya ia adalah kepercayaan bahawa kuasa digunakan untuk amanah dan bukan ruang untuk melakukan penindasan.
69. Akhirnya ikhtiar kelapan menjadikan MALAYSIA NEGARA BERDAULAT. Kita mahu hubungan luar negara yang luas, tetapi setiap hubungan mesti akhirnya menjawab satu persoalan — apakah kepentingan Malaysia yang berjaya kita lindungi?
70. Sebab ukuran kejayaan dasar luar bukan sekadar berapa banyak pemimpin dunia yang kita temui, berapa banyak persidangan yang kita hadiri atau berapa banyak negara mengenali Malaysia. Malah, jauh lebih bahaya jika hubungan baik dengan pihak luar menjadi saluran pengaruh yang mencorak politik dalaman negara.
71. Di bawah ikhtiar ini, matlamat utamanya ialah Malaysia mesti muncul sebagai kuasa pertengahan paling berpengaruh di dunia dengan setiap perjanjian strategik utama tetap mempertahankan kepentingan nasional.
72. Dengan lapan ikhtiar dan sasaran yang telah digariskan melalui Agenda Malaysia Biru, kita akan menyusun semula keutamaan negara. Bermula dengan penstrukturan percukaian termasuk GST pada kadar yang munasabah, menyelaraskan jaminan sosial rakyat, memudahkan urusan perniagaan serta membangunkan ekonomi wilayah berasaskan kekuatan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
73. Pada masa yang sama, kita mahu memperbaharui perjanjian dengan penjawat awam, melindungi kebajikan guru, mengarusperdanakan muamalah Islam dan memastikan PuTERA35 dilaksanakan sebagai agenda seluruh Kerajaan.
PENUTUP – KEMBALI MENENTUKAN ARAH
Sidang perwakilan sekalian,
74. Telah saya bentangkan perjalanan UMNO memahami, mendepani dan menyantuni realiti.
Telah kita buka pintu Rumah Bangsa, agar ramai yang kembali menghuni dan bersama-sama membina generasi.
Telah kita himpunkan ulama, cendekiawan dan pemikir dalam Musyawarah Nasional, agar keresahan ummah dapat digali dan solusi dapat dicari…
Telah kita gagaskan Kolaborasi Agung, supaya disatukan persefahaman politik yang dibina berteraskan Tafahum Siyasi.
Segalanya kita lakukan agar legasi perjuangan lapan puluh tahun ini dapat terus melakar masa depannya sendiri…
Saudara-saudaraku,
Lapan tahun saya mengemudi bahtera parti keramat ini. Lapan tahun yang penuh mehnah dan tribulasi.
Lapan tahun. Ada jatuh. Ada bangun. Ada luka yang mengguris hati…
Namun setiap luka mendewasakan. Setiap ujian mematangkan.
Dan setiap cabaran mengajar erti ketabahan.
Alhamdulillah, bahtera ini masih belayar, panjinya masih berkibar, anak-anak kapalnya tetap tegar… Sedia membelah samudera perjuangan menuju Putrajaya tanpa gentar.
Bukan kerana dek kemaruk kuasa.
Bukan juga kerana ghanimah dan harta Tetapi kerana sebuah cita-cita…
Agenda Malaysia Biru…
Agar rakyat dan negara beroleh sejahtera…
Namun, lautan mana yang tidak bergelora.
Badai ribut pasti melanda.
Pesan saya… Bersabarlah.
Jangan kita mudah menyerah.
Jangan sesekali berubah arah.
Dan jangan ada lagi yang berpaling tadah.
Selagi kita istiqamah melangkah, Selagi kita setia memegang amanah, Yakinlah…
Pasti sampai pertolongan Allah…
Ya Allah, Jika kami sedang diuji, kau kuatkanlah hati kami.
Jika kami dihadapkan dengan manusia yang pelbagai wajah.
Bukakanlah hijab agar kami kenal dan lebih berhati-hati.
Peliharalah perjuangan kami..
Satukanlah hati-hati kami.
Rapatkanlah saf kami.
Ilhamkanlah kepada kami.
Persefahaman yang Engkau redhai.
Ya Allah, Jika kemenangan itu baik untuk agama kami.
Baik untuk bangsa kami.
Baik untuk tanah air kami.
Maka kurniakanlah ia kepada kami.
Sebagai wasilah untuk kami terus berbakti.
Tiada daya upaya kami melainkan dengan pertolonganMu jua..
ya Rabbi… La haw la Wala quwwata illa billah…
Amin.. amin.. Ya Rabbal Alamin.
Saudara-saudari yang saya kasihi, akhirul kalam…
Setelah segala ikhtiar diusahakan,
Setelah segala doa dipanjatkan,
Setelah barisan dirapatkan…
Dari Dewan Merdeka ini…
Bangkitlah… Bangkitlah…
Bersiaplah kita untuk mara ke medan pertempuran…
Berbekalkan kebersamaan serta keikhlasan…
Bersama rakan-rakan satu persefahaman…
Melaka… Gelombang Biru pasti kita teruskan…
PRU Ke-16 pasti tiba…
Yang akan menjadi ibu segala pertempuran…
Bersiaplah… Untuk terus bermujahadah…
Kerana itulah detiknya, Kerana itulah ketikanya.
Untuk kita meletakkan semula.
Wadah keramat orang Melayu ini.
Berada di puncak maruah…
Kembali ke puncak daulah…
Hidup UMNO…
Allahu Akbar…
