Presiden UMNO Kedua

Tunku Abdul Rahman

26 Ogos 1951 – 24 Jan 1971

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (26 Ogos 1951 – 24 Jan 1971)

Bapa Kemerdekaan & Perdana Menteri Malaysia Pertama

Biografi

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj diputerakan pada 8 Februari 1903 di Alor Star, Kedah. Tunku merupakan putera ke-20 kepada Sultan Abdul Hamid Halimshah, Sultan Kedah yang ke-24 dan isteri beliau iaitu bonda kepada Tunku Abdul Rahman bernama Nearng atau lebih dikenali sebagai Makche Menjalara. Bonda yang dicintai itu adalah seorang keturunan Thai anak kepada Luang Nara Borirak (Kleb), keturunan Chao Phya Maha Kota, Ketua Negeri Mataban dalam jajahan Siam di Shan Utara Thailand.

Ini bermakna Tunku dilahirkan di istana sepertimana beberapa tokoh UMNO yang lain. Tunku tinggal di Istana Kota Lama yang dikenali sebagai ‘Istana Tiga Tangga’. Nama timangan Tunku ialah ‘Awang’ yang disebabkan kulitnya yang hitam manis akibat bermain panas manakala Ayahandanya memanggil beliau dengan nama ‘Putra’. Beliau Putera Raja yang mempunyai adik beradik yang ramai dan kaum kerabat yang besar jumlahnya, tetapi tidak dalam lingkungan yang akan mewarisi takhta kerajaan negeri. Tuhan telah menentukannya menjadi menjadi pemimpin rakyat seluruh negara. Pemerintahannya itu tidak berdasarkan warisan tetapi atas pemilihan rakyat.

Pada usianya enam tahun belajar di salah sebuah sekolah Melayu di Alor Star dan kemudian sekolah Government English School. Pada tahun 1913, ketika Tunku berusia sepuluh tahun, bondanya menghantarnya ke Bangkok untuk tinggal bersama-sama kakanda sulungnya Tunku Yusuf yang sedang bertugas disitu. Beliau telah dimasukkan ke Sekolah Debsurin. Kemudiannya Tunku pulang ke Kedah dan menyambung pelajaran di sekolah Melayu pada tahun 1916, sebelum memasuki Penang Free School. Semasa usia Tunku tujuh belas tahun, beliau dihantar oleh keluarganya ke seberang laut untuk menuntut pelajaran di St. Catherine’s College, Universiti Cambridge, England.

Walaupun rekod akademiknya tidak suatu yang boleh dibanggakan, beliau adalah orang Melayu yang pertama dari Kedah yang lulus dari sesebuah Universiti Inggeris pada tahun 1925 dengan mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam Undang-undang dan Sejarah dari Universiti Cambridge. Pada tahun 1926 beliau pulang ke Tanah Melayu tetapi empat bulan kemudian, kakandanya Tunku Ibrahim, Raja Muda Kedah ketika itu menghantarnya kembali ke England untuk melanjutkan pelajaran undang-undangnya di Inner Temple bagi membolehkan beliau mendapat kelayakan menjadi peguam atau majistret. Malangnya Tunku tidak dapat menumpukan minatnya dalam undang-undang dan gagal mendapatkan sebarang kelayakan dan pulang ke tanahair lima tahun selepas itu.

Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan seorang gadis Cina yang memeluk agama Islam dan mengambil nama Meriam. Mereka dikurniakan dua orang anak, Tunku Khadijah dan Tunku Nerang.

Kerjaya

Tunku memulakan kerjayanya dengan berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah, selepas itu Pegawai Daerah di beberapa Daerah di Kedah. Pada tahun 1935, ketika Tunku bertugas di Kuala Nerang, beliau telah memperjuangkan agar keadaan kesihatan dan perubatan di situ diperbaiki, kerana daerah itu sarang malaria. Malangnya isteri Tunku sendiri diserang penyakit itu dan kemudiannya meninggal dunia. Selagi lagi Tunku menyambung pelajaran undang-undang di England, pada tahun 1938, tetapi waktu Perang Dunia Kedua terpaksa pulang ke tanahair dan beliau dilantik menjadi Pegawai Daerah Sungai Petani dan kemudian Kulim. Sebelum itu Tunku telah berkahwin dengan Violet Coulsan dari England, tetapi jodoh tidak panjang. Pada tahun 1939 Sharifah Rodziah Binti Syed Alwi Barakhah. Perkahwinan mereka bahagia, kekal hingga akhir hayat Tunku.

Pada tahun 1940 Tunku dilantik menjadi Timbalan Pengarah Pertahanan Awam, Kedah Selatan. Apabila Jepun menyerahkan Kedah kepada negara Thai pada tahun 1941, Tunku dilantik menjadi Penyelia Pelajaran. Jawatan ini dipegangnya hingga British berkuasa semula di Kedah dan di seluruh negara.

Di dorong oleh keazaman yang kuat Tunku ke England pada tahun 1947 untuk menghabiskan pelajarannya di Inns of Court. Di sini beliau bertemu dengan Tun Abdul Razak yang jauh lebih muda darinya. Tunku menjadi Yang Dipertua Kesatuan Melayu United Kingdom dan Tun Razak menjadi Setiausahanya. Dalam umur 46 tahun Tunku berjaya menjadi seorang Barrister iaitu satu peringkat yang agak tua. Beliau berjenaka bahawa dirinya adalah satu-satunya pelajar dalam Inner Temple yang diterima ke Bar setelah menuntut selama 25 tahun.

Setelah tamat perang dunia yang Kedua Tunku turut menyertai politik menentang Malayan Union dan membangkitkan kesedaran ke arah kemerdekaan. Bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO, beliau berusaha menyatupadukan tenaga orang-orang Melayu. UMNO telah ditubuhkan dengan dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar bagi menyahut kehendak-kehendak kebangsaan Melayu tetapi dalam beberapa hal dasar, Tunku tidak bersetuju dengan pendapat yang ada.

Pulang ke tanahair, beliau berpindah ke Kuala Lumpur untuk menjadi Timbalan Pendakwa Raya di bawah Jabatan Undang-Undang Persekutuan dan kemudiannya Presiden Session Court. Tetapi perkembangan politik dalam UMNO dan di luarnya amat pesat seolah-olah menantikan seseorang pemimpin tertentu untuk mengetuainya. Pada bulan Ogos 1951 terjadilah satu krisis dalam UMNO yang menyebabkan Datuk Onn meletakkan jawatannya sebagai Yang Dipertua. Waktu itu ada beberapa tokoh UMNO yang boleh mengambil alih tempat Datuk Onn, tetapi pemimpin-pemimpin parti yang ada bersetuju atas tubuh Tunku. Dengan itu, jadilah Tunku Yang Dipertua. UMNO yang ke-2 sampai selama 20 tahun kemudian.

Sumbangan dan Perjuangan

Pada waktu pemulaaan pimpinan Tunku, tugas terpenting ialah bagi memupuk kerjasama antara kaum dan mencapai persetujuan atas perkara-perkara pokok bagi pemerintahan negara merdeka. Tunku berusaha dengan yakin, sabar dan tawakkal bagi menyatupadukan kaum-kaum di samping menjaga keutuhan bangsa Melayu dan MCA (Pertubuhan Cina Tanah Melayu) yang ditubuhkan pada tahun 1952 di kawasan-kawasan majoriti bukan Melayu. Hasilnya “Perikatan” UMNO-MCA telah memberi kemenangan kepada kedua-duanya.

Menjelang pilihanraya 1955 Perikatan ini disertai pula oleh MIC (Kongres India Tanah Melayu) sebagai mewakili kaum India. Dengan pertubuhan Perikatan ini semua kaum-kaum yang penting adalah terwakil dalam sebuah badan politik yang terbesar bergerak menuju kemerdekaan.

Kata sepakat yang dahulunya susah untuk dicapai kerana parti-parti tidak mempunyai pendapat yang sama, sekarang boleh diselesaikan secara konsensus dalam Perikatan. Soal kerakyatan ditimbulkan dimana bukan Melayu menghendaki kelonggaran yang lebih sedangkan orang Melayu mempertahankan syarat-syarat yang ketat. Soal-soal lain termasuk hak-hak istimewa bagi orang-orang Melayu, penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan asas dasar pelajaran kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi.

Setelah tercapai persetujuan mengenai cara-cara mengendalikan negara, pemimpin-pemimpin Perikatan mengemukakan kepada Kerajaan British. Rombongan pertama Perikatan ke London telah dibuat pada tahun 1954 tetapi tidak beroleh kejayaan. Pada Julai tahun 1955 telah berlangsung pilihanraya umum yang pertamatelah diadakan di mana Perikatan mencapai kejayaan cemerlang dengan beroleh 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Dengan majoriti yang diperolehi itu, perikatan membawa satu rombongan lagi ke London, diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Sebagai Ketua Menteri, Tunku berusaha sedaya upaya untuk menamatkan pengganasan komunis secara damai. Pada 9 September 1955, beliau mengisytiharkan pengampunan bagi pengganas-pengganas komunis yang menyerah diri. Berikutan daripadanya, Rundingan Baling diadakan pada 28 hingga 29 Disember 1955 antara Parti Komunis Tanah Melayu, diwakili oleh Chin Peng, Chin Tien dan Rashid Maidin; dengan Kerajaan yang diwakili oleh Tun Tan Cheng Lock dan Tunku. Rundingan ini gagal. Chin Peng menolak cadangan Tunku agar komunis meletak senjata tanpa syarat. Semakin teguhlah azam Tunku hendak menewaskan pengganas komunis. Lima tahun kemudian, usaha bersama seluruh rakyat telah berjaya menamatkan Darurat yang disebabkan oleh pengganasan komunis.

Pada tahun 1956, Tunku mengetuai rombongan ke London untuk berbincang dengan Kerajaan British mengenai Kemerdekaan Tanah Melayu, yang terdiri daripada empat orang wakil Raja-raja Melayu dan empat orang wakil Parti Perikatan, dapat meyakinkan Kerajaan British supaya menetapkan tarikh Kemerdekaan iaitu 31 Ogos 1957.

Pada 30 Ogos 1957, di Padang Kelab Selangor, ketika jam tepat pukul 12 tengah malam, bendera Tanah Melayu pun dinaikkan, mengambil tempat Union Jack. Awal pagi esoknya, 31 Ogos, di Stadium Merdeka, Tunku membaca Pengisytiharaan Kemerdekaan. Dalam kedua-dua peristiwa itu, pekikan “Merdeka!” daripada Tunku berkumandang disambut gembira oleh ribuan rakyat disitu dan jutaan lagi yang mengikuti siaran radio.

Setelah negara merdeka pada tahun 1957 dan Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri yang pertama, usaha-usaha dibuat bagi mengukuhkan pemerintahan negara melalui perpaduan rakyat dan kemajuan ekonomi. Rancangan Malaya yang pertama, dimulakan sejak 1956, adalah bertujuan untuk mengisikan kemerdekaan dengan pembangunan.

Pada tahun 1960, keadaan darurat yang telah berjalan selama 12 bulan diisytiharkan tamat. Sebelumnya, pada Disember, tahun 1955, rundingan telah diadakan antara Tunku dan lain-lain dengan pemimpin-pemimpin Parti Komunis Malaya bagi menyelesaikan permusuhan. Apabila komunis tidak setuju membubarkan parti mereka, pihak Perikatan menolak sama sekali perundingan dengan mereka.

Dari segi hubungan luar, Kerajaan Perikatan di bawah pimpinan Tunku cuba berbaik-baik dengan semua negara tetapi menolak persahabatan dengan negara-negara Komunis memandang kepada ancaman Komunis di dalam negeri. Tanah Melayu menyertai secara aktif dalam politik antarabangsa seperti mengaggotai Bangsa-bangsa Bersatu dan badan-badan yang ditubuhkannya, menjadi ahli Komanwel British, mengambil sikap menentang dasar Apartheid Afrika Selatan, menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menghantar tentera ke Congo bila peperangan saudara meletus di sana.

Untuk persahabatan serantau, Tunku telah mengasaskan ASA atau Pertubuhan Asia Tenggara pada tahun 1961 dengan dianggotai oleh Malaya, Filipina dan Thailand. Kemudiannya pertubuhan ini dibubarkan untuk membuka jalan kepada Penubuhan ASEAN pada tahun 1967. Pada tahun kemudian ini juga, hubungan dengan negara-negara bloc komunis mula diadakan.

Pada bulan September 1963, wilayah negara telah diperluaskan dengan Penubuhan Malaysia mangikut cadangan Tunku supaya semua negeri-negeri di bawah pemerintahan British di Asia Tenggara digabungkan ke dalam sebuah Persekutuan bersama-sama dengan Malaya yang telah pun merdeka itu. Atas jasanya itu, Tunku diberi gelaran “Bapa Malaysia”.

Dalam penubuhan Malaysia ini, tidak disangka-sangka mendapat tentangan hebat dari rejim Sukarno. Maka dengan itu berlakulah Konfrontasi antara dua negara serumpun dan tamat hanya apabila rejim Sukarno diguling pada bulan Oktober 1965 oleh tentera. Di samping itu, Malaysia menghadapi tuntutan ke atas Wilayah Sabah oleh kerajaan Filipina yang berlanjutan ke hari ini.

Dalam keadaan negara menghadapi ancaman dari luar, tercetus pula satu pergolakan politik yang hebat dalam negeri, melibatkan kerajaan pusat di bawah pimpinan Perikatan dengan kerajaan Singapura pimpinan PAP. Pimpinan PAP menjalankan kempen yang luas di dalam dan luar negeri bagi memburukkan kerajaan pusat. Akibatnya permusuhan antara Melayu dan orang China makin bertambah damn boleh mencapai paras bahaya. Tunku mengambil keputusan untuk menyingkirkan Singapura dari Malaysia.

Menjelang tahun 1969, ketegangankaum ini, Tunku telah dengan berat hati mengampuni 11 orang pemuda (9 keturunan China) yang telah dihukum mati oleh mahkamah kerana bersubahat dengan pihak musuh di waktu Konfrontasi Indonesia dahulu. Tetapi kemurahan hati Tunku ini telah disalahertikan oleh parti-parti pembangkang sebagai kelemahan. Suasana perkauman bertiup sampai ke kemuncak dan meletus dalam peristiwa 13 Mei 1969.

Bagi memulihkan keadaan yang tegang dalam negara, Parlimen telah digantung dan di atasnya tertubuh Majlis Gerakan Negara. Tunku masih menjadi Perdana Menteri tetapi pengarah Mageran telah diserahkan kepada Tun Abdul Razak. Pada 22 September 1970, Tunku meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri, setelah mendapat kepastian dari pimpinan baru bahawa negara akan kembali kepada demokrasi dan Mageran dibubar setelah keamanan pulih semula. Pada Februari 1971, Tunku tidak bertanding lagi untuk jawatan UMNO.

Setelah bersara dari politik tanahair, Tunku bertolak ke Jeddah untuk memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Sekretariat Islam yang pertama. Di waktu memegang jawatan ini, banyak usaha-usaha yang dibuat oleh Tunku bagi memupuk kerjasama dan persaudaraan antara negara-negara Islam. Syor-syor dikemukakan bagi kemajuan umat Islam dalam bidang ekonomi seperti penubuhan bank Islam, kegiatan di bidang agama dan juga kebudayaan.

Minat Tunku dalam kemajuan orang-orang Islam dan agama Islam bukanlah baru. Sewaktu menjadi Perdana Menteri, beliau telah mengilhamkan pertandingan Al-Quran di peringkat negeri dan antarabangsa yang mengharumkan nama Malaysia. Kembali ke tanahair, Tunku terus bergiat dalam bidang dakwah membantu orang-orang bukan Melayu memeluk agama Islam. Kini Tunku mengetuai PERKIM atau Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia.

Dalam bidang sukan, Tunku adala bertanggugjawab menghidupkan semangat kesukanan dalam negara. Beliau adalah pengasas Pesta Bola Merdeka yang begitu popular dan disambut baikoleh negara-negar lain di Asia. Beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia dan Presiden Konfederasi Bolasepak Asia. Beliau sendiri sangat suka bermain bola di waktu mudanya, dan sebelum merdeka pernah menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Melayu dan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor.

Pendeknya Tunku ialah seorang yang istimewa dilahirkan untuk memimpin manusia dalam keadaan yang mencabar seperti di Malaysia. Pemimpin-pemimpin yang luas pengetahuan akademiknya ataupun petah bercakap belum tentu dapat mengemudikan negara ini di celah liku-liku perkauman yang menghendaki kebijaksanaan dan kesabaran yang bukan sedikit.Tunku tidak ada ilmu yang banyak, tetapi peribadinya memupuk satu rasa keyakinan pada orang-orang yang mendampinginya.

Tunku meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 22 September 1970 dan sebagai Presiden UMNO diumumkan pada 24 Januari 1971 dalam Perhimpunan Agung UMNO. Tunku Abdul Rahman mangkat pada 6 Disember 1990.