BARISAN Nasional (BN) menyatakan hasrat untuk menawan semula kerusinya yang terlepas ke tangan Bersatu dan PAS (Perikatan Nasional) pada pilihanraya umum akan datang.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk itu banyak kajian sedang dan akan dibuat, khasnya dalam mengenal pasti kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang mempunyai potensi untuk dirampas semula.
“Kita perlu bekerja keras bagi mencapainya pada PRU ke-16,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Sri Gading di Batu Pahat, semalam.
Beliau yang juga presiden UMNO menggesa semua ahli parti agar tidak termakan dengan propaganda ‘UMDap’ yang dimainkan pembangkang, sambil menekankan senario politik negara sekarang memerlukan kerjasama di antara BN dan Pakatan Harapan (PH).
“Dalam BN, kita ada MCA dan MIC, dalam PH ada DAP, PKR dan Amanah.
“Jadi, janganlah termakan hasutan pembangkang yang bertujuan melaga-lagakan BN dan PH. Dengan ini, rancangan tebuk atap mereka akan berjaya,” katanya.