Fungsi dalam kerajaan penentu masa depan UMNO

FUNGSI masa depan UMNO dalam kerajaan perpaduan mungkin bergantung kepada rundingan untuk mencapai kata sepakat berhubung keputusan dasar dan kuasa perdana menteri, kata Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Puad Zarkashi.

Menjawab dakwaan penganalisis bahawa UMNO memerlukan 10 tahun untuk bangkit semula, menurutnya, kebangkitan UMNO bermakna kembali dominan dalam kerajaan dan memegang jawatan perdana menteri.

Beliau meramalkan UMNO memerlukan 20 tahun untuk mencapai matlamat itu sejak Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa pada 2018.

“Kini tujuh tahun berlalu. Tinggal 12 tahun saja lagi, iaitu dua tahun melebihi 10 tahun yang dicadangkan penganalisis Awang Azman Pawi,” katanya dalam catatan Facebooknya malam tadi.

Beliau berkata, UMNO membuat keputusan strategik yang bijak untuk menyertai kerajaan perpaduan yang ditubuhkan pada 2022.

“Berada dalam kerajaan sebenarnya memberi ruang kepada UMNO untuk bernafas dan bangkit semula.

“Dalam tempoh berbaki dua tahun lagi, UMNO mesti melakukan legitimasi keberadaannya dalam kerajaan hari ini. Masih ramai ahli akar umbi belum menerima kerajaan perpaduan.

“Umno perlu kukuhkan akar umbinya, kuasai naratif negara. Menteri UMNO mesti dilihat ‘perform’ dan perkasakan sayap-sayap parti.”

Puad berkata, jika UMNO mahu meneruskan kerajaan perpaduan, kerjasama politik perlu diperluaskan dalam konteks “konsensus dasar” dan rundingan “kuasa perdana menteri”. Tetapi, beliau tidak menghuraikannya.

Semalam, FMT melaporkan Awang Azman sebagai berkata, BN pimpinan UMNO memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun lagi untuk memulihkan sokongan akar umbi dan rakyat sebelum ia mampu bergerak solo dalam PRU.

“UMNO tidak mahu hilang identiti dan hanya menjadi pelengkap dalam pakatan (kerajaan perpaduan) serta bukan pemain utama dalam jangka masa panjang,” katanya semalam.

Puad dalam responsnya berkata, UMNO wajar bertanding dalam PRU menggunakan logo BN, tetapi terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk memastikan tiada pertindihan kerusi.