UMNO menolak sebarang perhimpunan yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan tidak akan bertolak ansur dengan kehadiran ahlinya dalam perhimpunan anjuran pembangkang ditunjangi PAS di ibu negara semalam.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ahli UMNO sepatutnya memberi tumpuan kepada memperkukuh Kerajaan MADANI, bukan cuba untuk melemahkannya.
“Saya mahu lihat dahulu siapa yang hadir ke perhimpunan… saya dan pasukan akan soal mereka mengenai kehadiran itu. Apakah sebab mereka hadir ke perhimpunan itu?.
“Kepemimpinan UMNO mempunyai pendirian yang jelas dan tidak menyokong perhimpunan sebegitu, kerana parti kini adalah sebahagian daripada Kerajaan MADANI,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Raub di Dewan Jubli Perak Raub, Ahad.
Terdahulu, Ahmad Zahid menjawab soalan berhubung dakwaan bahawa terdapat ahli UMNO yang menyertai perhimpunan diketuai PAS yang diadakan di Dataran Merdeka semalam.
Ahmad Zahid berkata, UMNO mesti memperkukuh Kerajaan Perpaduan, bukan menjatuhkannya.
“Menyertai perhimpunan sebegini bukan satu tindakan yang baik,” katanya.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata parti akan menunggu laporan penuh berkenaan dakwaan itu sebelum mengambil sebarang tindakan.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kira-kira 18,000 orang menghadiri perhimpunan itu, yang berakhir tanpa sebarang insiden.
Perhimpunan itu dianjurkan bagi memberi tekanan kepada kerajaan berhubung kenaikan kos sara hidup dan dakwaan kegagalan institusi.