MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu UMNO tidak mengetahui bahawa wang sebanyak RM16 juta yang diterima daripada Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB) boleh dikaitkan dengan sebarang perbuatan pecah amanah atau tanggungjawab.
Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang mewakili UMNO, berhujah bahawa parti itu telah menerima wang tersebut sebagai derma dan sumbangan.
“Tiada bukti yang menunjukkan bahawa plaintif hanya tahu wang sebanyak RM16 juta yang telah disalurkan itu adalah hasil daripada pecah amanah atau tanggungjhawab oleh bekas pengarah mereka sekitar 2019.
“UMNO pada masa yang material adalah penerima sah RM16 juta itu dan wang tersebut telah dibelanja serta digunakan oleh UMNO dalam aktiviti serta program yang bersifat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR),” katanya, semalam.
Peguam itu berkata demikian pada perbicaraan kes saman yang difailkan SRC International Sdn Bhd dan dua anak syarikatnya iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB) terhadap UMNO serta UMNO Selangor.
Mohamed Shahrul Fazli juga berhujah tiada bukti yang menunjukkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Penasihat Emeritus SRC ketika itu, telah mengarahkan Lembaga Pengarah syarikat berkenaan, GMSB atau JPSB untuk menyalurkan wang berkenaan kepada UMNO.
“Keterangan hanya menunjukkan bahawa Lembaga Pengarah SRC mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan akhir bagi pengurusan perniagaan bagi memenuhi matlamat syarikat berkenaan.
“Adalah jelas bahawa Datuk Seri Najib tidak boleh dianggap sebagai pengarah bayangan kepada plaintif atau memanipulasi pemikiran dan kehendak mereka. Pada setiap masa, peranan Datuk Seri Najib dalam kalangan plaintif adalah berdasarkan kapasiti rasmi dan tertakluk kepada Artikel Persatuan SRC,” katanya.