MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 24 Oktober ini bagi memutuskan saman SRC International Sdn. Bhd. dan dua anak syarikatnya terhadap UMNO dan UMNO Selangor bagi menuntut sejumlah RM19.5 juta yang didakwa dipindahkan secara salah.
Dua anak syarikat itu ialah Jendela Pinggiran Sdn. Bhd. (JPSB) dan Gandingan Mentari Sdn. Bhd. (GMSB).
Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan pihak-pihak selama dua hari bermula kelmarin dan berakhir semalam.
Dalam saman yang difailkan pada Mei 2021, SRC dan kedua-dua anak syarikatnya menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada parti politik itu dan mendakwa UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan, 10 tahun lalu.
Saman kedua pula yang difailkan secara berasingan terhadap Badan Perhubungan UMNO Selangor yang didakwa menerima RM3.5 juta secara salah pada 2015.
Pada prosiding semalam, peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili UMNO Selangor berhujah, tiada pertikaian yang serius berkaitan wang yang diterima oleh entiti politik itu kerana ia sememangnya merupakan derma politik.
Kelmarin, peguam UMNO, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman berhujah, dana berjumlah RM16 juta yang diterimanya daripada subsidiari syarikat pelaburan strategik, SRC merupakan derma dan sumbangan.
Hujah beliau, wang itu diterima dengan niat yang baik dan dana berkenaan dibelanjakan UMNO dalam aktiviti serta program bersifat tanggungjawab sosial korporat (CSR) sejajar dengan matlamat SRC dan anak syarikatnya iaitu Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB).
Sementara itu, peguam SRC dan dua subsidiarinya, Razlan Hadri Zulkifli berhujah, tiada sebarang dokumen pada ketika itu daripada JPSB atau SRC yang menjelaskan mengenai pemindahan wang berkenaan.