PARTI komponen Barisan Nasional (BN) diharap tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian gabungan itu yang telah dibentuk sekian lama.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tidak sepatutnya komponen utama BN terutama UMNO, MCA dan MIC yang telah menjalinkan hubungan sejak puluhan tahun menyatakan ketidakpuasan hati antara satu sama lain secara terbuka.
Menurutnya, sekiranya ada salah faham ia perlulah diselesaikan dengan baik supaya keluarga BN terus kukuh.
“Dalam apa jua bentuk gabungan, baik suami isteri pun kadang-kadang ada pertelingkahan.
“Jadi kita tidak mahu pertelingkahan kecil ini akan menyebabkan persahabatan kita yang telah pun berpuluh tahun sejak ditubuhkan itu terjejas,” katanya ditemui pemberita di Seremban, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, yang mendakwa dirinya dan MIC seolah-olah ditipu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjanjikan jawatan Kabinet sekiranya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Tapah itu turut menyuarakan kekecewaan kerana MIC didakwa tidak diberi sebarang peranan dalam kerajaan serta memberi bayangan tidak perlu meneruskan kerjasama jika tidak diperlukan.
Kenyataan dibuat Saravanan itu kemudian dibalas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang seterusnya menjadi perbalahan antara dua ahli politik itu di media sosial.