Zafrul sah sertai PKR, Cabang Ampang

MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengesahkan permohonan beliau untuk menyertai parti PKR sudah diterima dua minggu lalu.

Tengku Zafrul berkata beliau kini adalah ahli PKR bagi Cabang Ampang.

“Saya tidak ingat tarikh (penerimaan permohonan) tapi ia adalah ketika perjumpaan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti, dua minggu lepas,” katanya kepada media Malaysia di Osaka semalam ketika mengadakan lawatan ke Pavilion Malaysia bersempena Expo 2025.

Pada 30 Mei lalu, beliau mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan menyatakan niat untuk menyertai PKR.

Tengku Zafrul, menerusi surat dihantar kepada pimpinan UMNO, memaklumkan hasrat untuk meletak jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.