Adendum: Rayuan Peguam Negara ditolak

PEGUAM Negara (AG) gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini untuk mengetepikan keputusan yang membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Susulan itu, semakan akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berdasarkan tarikh-tarikh yang ditetapkan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.