MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi malam tadi meluluskan tiga usul, iaitu:
1. Menghantar nota bantahan kepada semua kepimpinan parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bercadang atau telah membenarkan kemasukan ahli UMNO ke dalam parti masing-masing.
Menurut Setiausaha, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu adalah protes rasmi dan amaran keras terhadap tindakan yang boleh menjejaskan hubungan antara parti gabungan sekiranya dibiarkan berlarutan.
“Protes ini merupakan amaran keras, jika tidak ditangani boleh mengeruhkan hubungan sesama parti-parti gabungan,” menurut kenyataan tersebut.
2. Menyatakan kekecewaannya dengan kelemahan prosedur siasatan ke atas kes Zara Qairina yang diakui sendiri oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menjalankan inkues penuh bagi menentukan punca kematian, termasuk kemungkinan unsur jenayah.
“Moga-moga proses inkues ini kelak dikendalikan secara bebas dan telus mengikut undang-undang bagi mendapatkan keadilan tuntas buat arwah Zara Qairina,” tegas kenyataan itu.
3. Mesyuarat MKT turut membincangkan isu lain termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan semakan kehakiman Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang memberikan kelegaan terhadap usaha-usaha untuk mendapatkan keadilan dan pembelaan buat Najib.
Sehubungan itu, berdasarkan kenyataan itu, UMNO turut memandang serius kesalahan berulang dalam isu pemasangan dan pengibaran bendera Jalur Gemilang yang merupakan maruah dan lambang kedaulatan negara.
“Tindakan tegas dan keras termasuk pendakwaan mesti dilakukan ke atas sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ini tanpa mengira apa jua alasan sebagaimana peruntukan undang-undang yang sedia ada,” ujarnya lagi.