TINDAKAN undang-undang tidak seharusnya hanya dikenakan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh semata-mata, sebaliknya penguatkuasaan yang adil perlu dilaksanakan terhadap semua pihak yang terlibat dalam insiden pemasangan bendera terbalik di Pulau Pinang
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setiap tindakan pasti akan mengundang reaksi, justeru penting untuk semua pihak bertenang dan tidak mencetuskan ketegangan yang boleh menggugat keharmonian negara.
“Apa jua dalam dunia ini, setiap tindakan akan ada reaksi. Kita tidak mahu perkara ini menjadi satu saingan luar kawalan.
“Saya harap semua pihak bertenang. Dr Akmal telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan,” katanya selepas menyempurnakan perasmian serentak Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di Hotel Royal Chulan di sini pada Sabtu.
Jumaat lalu, Dr Akmal dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi atas tuduhan menghasut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Komisioner Datuk Azizee Ismail sebelum itu berkata, polis Bukit Mertajam menerima satu laporan mengenai video Akmal di Facebook yang tular pada selepas bantahan yang dibuat di sebuah kedai di situ berkenaan bendera Malaysia yang dipasang terbalik.
Dalam video itu, Akmal dikatakan membuat kenyataan yang ‘menghasut’ dan disifatkan boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Kesalahan itu sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.