Kerjasama dengan GRS banyak risikonya

MENGADAKAN kerjasama dengan Gabungana Rakyat Sabah (GRS) pada pilihanraya negeri akan datang bukanlah satu langkah bijak, malah akan merugikan UMNO dan Barisan Nasional, kata UMNO Sabah.

Pengarah strategik komunikasinya, Rosman Ahir Zaman berkata wujud banyak isu seperti yang dibangkitkan ketua PKR Sabah, Mustapha Sakmud mengenai skandal perlombongan dan hal lain yang menyelubungi GRS.

Mustapha, yang partinya adalah komponen GRS memberitahu sebuah portal bahawa adalah penting mengutamakan kestabilan di dalam pakatan berkenaan.

“Kami setuju dengan kebimbangan Mustapha,” kata Rosman, sambil menambah skandal perlombongan itu belum selesai manakala video yang membabitkan beberapa wakil rakyat GRS dengannya tidak langsung membantu menaikkan persepsi rakyat terhadap gabungan itu.

“Bekerjasama dengan GRS akan membebankan kita,” katanya.

Beliau berkata, Barisan Nasional Sabah sepatutnya hanya memilih rakan yang jujur dan memperjuangan aspirasi yang sama dengannya, iaitu untuk kemajuan negeri dan rakyatnya.