UMNO Bahagian Johor Bahru menyelar tindakan Parti MUDA yang melancarkan kempen mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) membuka semula beberapa kes mahkamah, khususnya membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Penerangannya, Ahmad Solehin Abd Ghani berkata, tindakan itu bukan sahaja bersifat populis, malah boleh mencemar prinsip keluhuran undang-undang serta kebebasan institusi kehakiman negara.
“AGC adalah institusi perundangan utama negara yang membuat keputusan berdasarkan siasatan, keterangan dan merit undang-undang, bukannya berdasarkan trend media sosial atau desakan jalanan.
“Tindakan MUDA hanya menunggang sentimen rakyat demi agenda politik mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mendakwa pendekatan itu mengulangi strategi menjelang PRU14 (pilihan raya umum ke-14) apabila kepimpinan UMNO menjadi sasaran serangan.
“Dulu Datuk Seri Najib diserang, kini Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO pula dijadikan sasaran. Matlamatnya jelas, mahu melemahkan UMNO dari dalam,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Ahmad Solehin mencadangkan agar jika MUDA benar-benar memperjuangkan kebenaran, mereka wajar menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) pemantau integriti, bukannya menggunakan label parti politik untuk menekan institusi kehakiman.
“UMNO Johor Bahru tegas mempertahankan kebebasan institusi negara daripada diperalat mana-mana pihak.
“Jika MUDA benar-benar mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian, maka berhujahlah di medan demokrasi, bukan dengan fitnah dan tekanan massa,” katanya.
Beliau menegaskan UMNO terbuka kepada proses pengadilan yang adil dan saksama, namun menolak sebarang bentuk perbicaraan oleh media, keputusan berdasarkan tekanan awam, dan campur tangan politik terhadap badan kehakiman.